Ad

Friday, 28 August 2015

Harimau Malaya harus bangkit

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
FAIZ (depan) antara pemain penyerang yang dipanggil oleh Dollah untuk menyertai skuad Harimau Malaya.

MALAM ini skuad Harimau Malaysia akan berdepan Bangladesh pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam.

Ia sebagai persediaan buat jurulatih, Dollah Salleh untuk membentuk skuad mantap bagi menghadapi aksi ketiga peringkat Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 menentang Emiriah Arab Bersatu di Abu Dhabi pada 3 September ini.

Bila bercakap mengenai kempen kelayakan untuk dua kejohanan utama itu, sudah pastinya para penyokong Harimau Malaysia tidak akan lupa bagaimana skuad negara dibelasah 6-0 oleh Palestin, Jun lalu.

Ekoran kekalahan tersebut, ramai pemerhati menganggap skuad Harimau Malaya bakal berdepan misi mustahil untuk melayakkan diri ke pusingan akhir dua kejohanan berprestij itu.

Bagaimanapun, Dollah belum bersedia untuk mengibarkan bendera putih, malah dia telah mengingatkan para pemainnya agar bangkit menampilkan rentak yang lebih berkualiti bermula dengan pertemuan menentang Bangladesh malam ini yang akan dijadikan medan untuk memulihkan moral anak-anak buahnya.

Jelas Dollah, dia tidak mahu keputusan hambar yang dicatat pada dua aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 sebelum ini sebagai penghalang, sebaliknya para pemain harus menjadikan Bangladesh sebagai titik kebangkitan.

Dollah juga mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak memandang mudah cabaran Bangladesh yang juga dilihat memiliki beberapa pemain berkualiti dan mampu melakar kejutan pada aksi di Stadium Shah Alam itu nanti.

Sebagai rekod, selepas mengharungi dua perlawanan, Harimau Malaya kini menghuni tangga tercorot Kumpulan A apabila sekadar meraih satu mata sepanjang hasil keputusan seri 1-1 ketika menentang Timor Leste pada aksi pembuka tirai, Jun lalu.

“Para pemain telah mengharungi jadual Liga Malaysia (Liga M) yang padat dan mereka kini dilihat dalam keadaan sukar kerana keletihan terutamanya para pemain dari pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) yang turut beraksi pada kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) baru-baru ini.

“Apa yang pasti, kami tidak boleh ambil mudah aksi menentang Bangladesh dan pemain kena buktikan sesuatu. Lebih mustahak, jangan terlalu fikirkan keputusan perlawanan ketika menentang Palestin sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dalam perkembangan sama, bekas pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu kekal optimis dan menaruh harapan tinggi terhadap skuad kali ini yang dibarisi beberapa pemain berpengalaman, antaranya penyerang Kelantan, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Mohd. Faiz Subri (Pulau Pinang).

“Yang penting, para pemain dapat melaksanakan tugas dengan baik serta mengikut perancangan yang telah diatur. Soal jentera serangan bukan mudah untuk diatasi namun kita masih memiliki Norfarhan, Faiz dan S. Kumaahran.

“Malah dengan kehadiran pemain pengalaman seperti Amri Yahyah, ia mungkin mampu membawa perubahan,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0829&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3k9Yr3siB Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment