OLEH LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
FAUZI (kiri) berharap diberi
peluang untuk beraksi pada perlawanan Pahang menentang ATM dalam saingan Liga
Super di Kuantan malam ini.
MISI balas dendam. Itu matlamat
penyerang Pahang, Mohd. Fauzi Roslan dengan harapan pengendali Pahang, Zainal
Abidin Hassan dapat menurunkannya dalam kesebelasan utama pada perlawanan
menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darul Makmur, Kuantan
malam ini.
Pemain yang terkenal dengan
jolokan budak ajaib itu nyata bersemangat untuk membantu Tok Gajah dalam meneruskan
momentum kemenangan, sekali gus membalas dendam kekalahan kepada ATM pada
pusingan pertama liga.
Fauzi yang merupakan antara
penjaring gol dalam pertemuan menentang Sime Darby minggu lalu berkata, Pahang
mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri yang setakat ini belum lagi
tercalar dengan kekalahan.
“Kita kalah dengan ATM pada
awal musim ketika beraksi di gelanggang lawan dengan satu gol. Berdasarkan
prestasi semasa, saya percaya kemenangan bukan satu yang mustahil.
“Ini peluang untuk balas dendam
kerana kita mempunyai kelebihan dengan beraksi di gelanggang sendiri selain
sokongan padu penyokong,” ujarnya.
Pahang akan turun malam ini
dengan berbekalkan rekod tiga kemenangan berturut-turut, manakala ATM masih
bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran dalam Liga Super musim ini.
Sementara itu, kapten Pahang,
Mohd. Razman Roslan menuntut jentera pertahanan Pahang menjadi lebih ampuh bagi
mengelak agar dibolosi.
Mengambil iktibar daripada
perlawanan menentang Sime Darby minggu lalu apabila ketinggalan dua gol, Razman
berharap kesilapan sama tidak berulang kerana ia akan menyukarkan misi untuk mengutip
tiga mata.
“Saya harap, rakan sepasukan
khususnya barisan pertahanan lebih fokus dengan mengawal ketat pemain lawan
yang pastinya bijak untuk menjaringkan gol,” katanya.
SUMBUR KOSMO ONLINE 5.8.2015
No comments:
Post a Comment