Ad

Monday, 10 August 2015

Misi Chong Wei terjejas


 

Misi Chong Wei terjejas-Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
CHONG WEI mengalami kecederaan di ibu jari kaki kanannya.

PERSIAPAN Datuk Lee Chong Wei untuk menamatkan kemarau juara buat skuad badminton kebangsaan sejak 1977 pada Kejohanan Badminton Dunia 2015 di Jakarta, Indonesia yang akan membuka tirai­nya hari ini sedikit terjejas.

Ia gara-gara ja­guh badminton negara itu me­ngalami kecederaan kecil di bahagian ibu jari kaki kanan sewaktu sesi latihan di Stadium Istora Senayan kelmarin, sekali gus tidak dapat me­nyertai para pemain lain meneruskan sesi pemanas badan di Dewan Badminton Djarum semalam.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Han­sen menegaskan, beliau me­nyarankan Chong Wei agar menjalani latihan ringan di Gimnasium Hotel Sultan semalam agar kecederaan yang dialami pemain berusia 32 tahun itu tidak menjadi lebih serius.

“Chong Wei terpaksa menjalani latihan ringan sahaja sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kece­deraan ibu jari kaki kanannya yang sedikit melecet.

“Bagaimanapun, ia tidak serius dan saya percaya kecederaan ini akan sembuh sepenuhnya sebelum aksi pusingan pertama menentang pemain Lithuania, Kestutis Navickas, Selasa ini (esok),” katanya.

Bekas pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik itu berpotensi untuk menentang Lin Dan pada peringkat separuh akhir sekiranya berjaya melepasi saringan awal tanpa sebarang masalah.

Sebagai rekod, bekas pemain No. 1 dunia itu sekadar meraih pingat gangsa dalam tiga pe­nyertaan sebelum ini iaitu di Anaheim, Amerika Syarikat pada 2005, London, England (2011) dan Guangzhou, China (2013).

Aksi hari ini juga menyaksikan Zulfadli Zulkiffli yang turut menggalas cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki dengan menentang pilihan keenam dari Taiwan, Chou Tien Chen.

Bagi perseorangan wanita pula, Tee Jing Yi akan bertemu Jeanine Cicoginini dari Itali manakala pemain profesional negara, Lydia Cheah dijadualkan menentang wakil Turki, Ozge Bayrak.

Acara beregu wanita juga turut bermula hari ini menyaksikan Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho akan berdepan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Republik Cezch; Lim Yin Loo-Lee Meng Yean dijadualkan menentang pasangan Singapura, Vanessa Neo-Shinta Mulia Sari dan Joyce Choong Wai Chi-Yap Chen Wen bertemu Victoria Dergunova-Olga Morozova dari Rusia.

Sementara itu, saingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dalam acara beregu campuran juga akan bermula hari ini dengan menentang pasangan Amerika Syarikat, Howard Shu-Eva Lee.

Dua lagi beregu campuran negara yang akan memulakan kempen mereka hari ini ialah Tan Aik Quan-Lai Pei Jing melawan pasangan Rusia, Vitalij Durkin-Nina Vislova dan Tan Chee Tean-Shevon Lai bakal berentap dengan Ronan Labar-Emilie Lefel dari Perancis.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0810&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3iQSCV7sL Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment