Ad

Friday, 7 August 2015

Situasi masih baik berbanding krisis 1997, 1998

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 OGOS 2015
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar Abdul Wahid

SITUASI kejatuhan ringgit pada masa kini, masih lagi berada dalam keadaan terkawal berbanding krisis kewangan negara sekitar 1997 hingga 1998.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, faktor yang mendorong kepada krisis kewangan ketika itu semakin kukuh untuk masa kini.

“Secara asasnya keadaan sekarang lebih baik berbanding dahulu kerana ekonomi Malaysia terus berkembang dan mampan dengan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara masih di paras 4.5 hingga 5.5 peratus bagi 2015,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel bagi Forum Transformasi Syarikat Berkaitan GLC, di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Abdul Wahid, dari segi kedudukan perdagangan kita hari ini semakin konsisten berbanding 1997 dan 1998 di mana negara mengalami defisit dagangan ketika itu.

“Rizab negara pula berjumlah RM392 bilion pada masa ini dan memadai untuk menampung 7.9 bulan import berbanding rizab yang ada pada 1997 dan 1998 yang hanya cukup menampung import bagi 3.2 bulan dengan jumlah RM117 bilion.

“Kadar pinjaman dalam kalangan sektor korporat juga adalah rendah dan tidak banyak daripada mereka yang terdedah dengan kadar mata wang asing, berbanding krisis kewangan sebelum ini,” katanya.

Abdul Wahid juga berkata, sistem perbankan kita juga lebih terurus dan mempunyai modal yang mencukupi dengan aset dan kecairan yang baik yang diselia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Sehingga petang semalam, Ringgit disebut harga pada 3.92 berbanding dolar.


SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 8.8.2015

No comments:

Post a Comment