Oleh MOHD. FAZLI MOHD. YADI dan
ZURAINI MOHD. KHALID
DOLLAH (tengah) sudah
menyelesaikan masalah ketiadaan pemain penyerang dalam skuad Harimau Malaya.
PENGGANTI Norshahrul Idlan
Talaha selaku penyerang utama akhirnya terjawab apabila jurulatih Harimau
Malaya, Dollah Salleh menyenaraikan pemain Pulau Pinang, Faiz Subri sebagai
penggempur pilihan dalam skuad kendaliannya itu.
Kelmarin, Dollah telah
mengesahkan bahawa Norshahrul yang juga dikenali sebagai ‘Mat Yo’, terpaksa
disisihkan daripada kem latihan skuad kebangsaan gara-gara masalah kecederaan
pada tulang rusuk.
Sebaik masalah tersebut
selesai, Dollah berharap anak jati Air Hitam, Kedah itu mampu menyumbang
sesuatu buat skuad negara menjelang aksi persahabatan menentang Bangladesh di
Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
“Saya sudah menghubungi Faiz
dan dia memaklumkan akan melapor diri esok (hari ini).
“Saya dapat maklumat daripada
kawan-kawan dan jurulatih lain termasuk meminta pendapat Yong Kuong Yong
mengenai prestasi Faiz dan mereka telah memberi maklum balas yang positif.
“Saya pernah melihat dia beraksi
sebelum ini, ketika itu dia bermain di posisi lain. Apabila dia bertukar posisi
kepada penyerang, saya dapat lihat perbezaan pada prestasinya,” kata
Dollah ketika ditemui selepas sesi latihan skuad Harimau Malaya di padang Wisma
FAM, Kelana Jaya semalam.
Dalam perkembangan sama, Dollah
berharap misinya untuk membentuk skuad yang mantap dapat direalisasikan.
Pertahanan Perak, Idris Ahmad
yang mengalami kecederaan MCL (Medial Collateral Ligament) turut diketepikan
dan diganti dengan pemain Johor Darul Takzim (Johor DT), Junior Eldstal.
“Setakat ini semuanya berjalan
lancar tetapi kedudukan Eldstal hanya akan diketahui selepas selesai perlawanan
suku akhir Piala AFC antara Johor DT menentang kelab Hong Kong, South China
hari ini (semalam).
“Saya harap para pemain tidak
mengalami kecederaan lagi selepas ini kerana masa sudah semakin singkat.
“Buat masa ini, fokus saya
adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain kerana sebahagian besar
daripada mereka masih letih selepas mengharungi jadual yang padat dalam saingan
Liga Malaysia,” jelas Dollah.
Sumber Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3jwJ3W5BG
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment