ISMAIL (dua dari kiri) berjabat
tangan dengan jurulatih South China, Casemiro Mior sambil diperhatikan pemain
Johor DT, Aidil Zafuan Abdul Radzak (kiri) dan Bojan Malisic menjelang aksi
suku akhir Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam
ini.
SELEPAS saingan Liga Super 2015
menutup tirai Sabtu lalu, sang juara, Johor Darul Takzim (Johor DT) dan naib
juara, Pahang menggalas cabaran besar di pentas antarabangsa apabila bakal
beraksi pada suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) malam ini dan
esok.
Skuad Harimau Selatan yang
masih segar dengan kejayaan mengekalkan trofi Liga Super menanti kunjungan
kelab dari Hong Kong, South China di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam
ini.
Pahang pula yang menelan
kepahitan gagal mengulangi kejayaan 2004, berkelana ke Tajikistan menentang
kelab Istiqlol Dushanbe esok.
Skuad Harimau Selatan bimbingan
Mario Gomez dilihat berpeluang cerah untuk memenangi aksi itu apabila bertemu
bekas pasukan kendaliannya selain beraksi di laman sendiri.
RAZMAN (dua dari kiri) bersama
rakan-rakan sepasukannya berdepan misi sukar apabila Pahang menentang Istiqlol
Dushanbe pada saingan suku akhir Piala AFC di Tajikistan esok.
Menurut pengurus Johor DT,
Ismail Ibrahim, Gomez sudah pastinya arif kekuatan dan kelemahan South China
dan percaya jurulatih dari Argentina itu bakal membuat percaturan yang
sewajarnya bagi pertemuan tersebut.
“Pastinya jurulatih (Gomez)
cukup kenal tentang South China dan akan merangka strategi yang tepat untuk
berdepan pasukan lawan esok (malam ini),” katanya pada sidang akhbar di Johor
Bahru semalam.
Skuad Tok Gajah pula berdepan
laluan berliku apabila berdepan dengan Istiqlol Dushanbe yang memiliki banyak
pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.
Kapten Pahang, Mohd. Razman
Roslan berkata, faktor fizikal yang jauh berbeza turut memberi kelebihan kepada
pasukan lawan dalam corak taktikal serta hantaran bola jauh.
“Bagi saya, kalau kita dapat
seri sudah cukup bagus, andai kalah sekali pun jangan sampai defisit gol yang
besar sebab ada peluang untuk balas semula ketika beraksi di Stadium Darul
Makmur, Kuantan nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3jp4wUfgt
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment