AMRI YAHYAH (kiri) adalah
antara penyerang yang disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya namun pemain
Johor Darul Takzim itu masih belum dapat mengembalikan rentaknya gara-gara
keletihan selepas mengharungi saingan Piala AFC minggu lalu.
JURULATIH Harimau Malaya,
Dollah Salleh berkata, jentera serangan skuad kendaliannya masih lemah.
Kelemahan tersebut menjadi
punca mereka gagal menghasilkan sebarang gol pada aksi persahabatan
antarabangsa menentang Bangladesh di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.
Kedua-dua pasukan terikat seri
tanpa jaringan.
Jika keadaan tersebut
berlarutan, Harimau Malaya tidak perlu bermimpi untuk meraih kemenangan ke atas
Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi ketiga peringkat Kumpulan A kempen
kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Abu Dhabi pada 3 September
ini.
Bangladesh pun sukar untuk
ditembusi pada aksi di gelanggang sendiri, inikan pula UAE yang memiliki
reputasi hebat di rantau ini.
Memang tidak dinafikan, Dollah
berada dalam dilema dengan situasi yang melanda skuad negara ketika ini, tetapi
perjuangan harus diteruskan.
Dollah tidak harus
dipersalahkan, kerana bola sepak Malaysia ketika ini ketandusan pemain yang
mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Di sebalik kelemahan yang
melanda skuad negara, Dollah tetap optimis bahawa skuad kendaliannya itu mampu
melakukan kejutan jika barian pemainnya bergerak sebagai satu pasukan serta
memberikan komitmen seratus peratus dalam setiap perlawanan yang bakal mereka
harungi.
Hanya kerja keras yang mampu
mengubah nasib mereka memandangkan sebahagian besar pemain negara dalam skuad
Harimau Malaya tidak memiliki kemahiran tertentu.
“Saya memang agak kecewa dengan
tindakan penyudah yang dilihat sangat lemah, tetapi saya fikir pemain-pemain
sudah dapat memahami corak permainan yang saya terapkan.
“Kita mencipta banyak peluang
(pada aksi menentang Bangladesh) tetapi satu pun tidak menghasilkan gol.
Kelemahan di bahagian serangan sangat ketara,” jelas Dollah.
Pada kempen kelayakan Piala
Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, skuad negara sekadar mengutip satu mata hasil
keputusan seri 1-1 dengan Timor Leste pada aksi pertama sebelum dibelasah 6-0
oleh Palestin pada perlawanan kedua
peringkat Kumpulan A, Jun lalu.
Skuad kendalian Dollah itu akan
berlepas ke Abu Dhabi hari ini.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3kLQbJSm2
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment