Pemain Kelantan letih selepas
rehat panjang2 OGOS 2015
Zahasmi Ismail Zahasmi anggap
pertemuan menentang Perak cabaran sebenar buat dirinya, namun percaya pasukan
kendaliannya mampu menewaskan skuad The Bos Gaurus.
BEBERAPA siri ketegangan antara
Kelantan dan Perak dalam saingan Liga Super pada separuh masa kedua perlawanan
malam tadi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV tercetus disebabkan pemain tuan
rumah yang keletihan dan hilang tumpuan.
Pemangku Ketua Jurulatih
Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, pemain Kelantan berada dalam keadaan letih
apabila mengharungi tiga perlawanan selepas ditangguhkan selama sebulan
sepanjang Ramadan kerana stadium digunakan oleh kerajaan negeri untuk program
Madinah Ramadan.
"Masalah kepenatan yang
dialami oleh pemain Kelantan menyebabkan mereka mudah hilang tumpuan dan
beberapa ketegangan antara kedua-dua pasukan tercetus.
"Namun, saya memuji
komitmen yang ditunjukkan oleh anak buah saya yang memberi persembahan terbaik
mereka sehingga Kelantan berjaya memperoleh tiga mata," katanya kepada
pemberita selepas tamat perlawanan, malam tadi.
Pada perlawanan itu, Kelantan
menang tipis 1-0 ke atas Perak di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu
menerusi jaringan tunggal Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-72.
Pada penghujung babak kedua
perlawanan malam tadi, ketegangan tercetus pada minit ke-81 akibat aksi
tolak-menolak di antara penyerang import Kelantan, Iwuji Amamchi dan kapten
Perak, Thiago Junio.
Keadaan bertambah parah apabila
Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Nor Farhan Muhammad
dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-85 kerana mengasari pemain
Perak, S. Vikneswaran.
Sementara itu, pengendali Perak
Datuk M. Karathu berkata walaupun kecewa gagal meraih sebarang mata, namun
beliau berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh anak buahnya
pada perlawanan itu.
"Saya akui pasukan kami
masih kurang pengalaman bermain selepas kami terpaksa membina kembali pasukan
pada musim ini.
"Ini mungkin juga
disebabkan pemain tidak menyertai mana-mana perlawanan sepanjang Ramadan
menyebabkan mereka tidak mendapat momentum yang baik untuk menjaringkan
gol," katanya.
Perak bagaimanapun menghuni
tempat ketiga carta liga dengan 27 mata berbanding Kelantan di tempat
kesembilan selepas mengumpul 21 mata. – Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE
2.8.2015
No comments:
Post a Comment