RIFQIE RUZAIEN | 10 Apr 2019
Kafa mengarahkan Mohd Badhri kembali menjalani latihan selepas permohonannya menarik diri daripada pasukan itu belum diputuskan lagi, setakat ini.
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengarahkan pemain tengahnya, Mohd Badhri Radzi segera kembali menyertai latihan bersama skuad The Red Warriors (TRW).
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, tonggak veteran yang dikenali Piya itu masih sah berstatus pemain Kelantan memandangkan pihaknya belum membuat keputusan terhadap pemohonannya keluar daripada pasukan itu.
“Piya (Mohd Badhri) mesti berada di padang latihan kerana Kafa masih belum membuat apa-apa keputusan terhadap permohonan penarikan dirinya.
“Jadi Piya mesti kembali bersama pasukan. Bila dia belum terima jawapan daripada Kafa, dia kena hadir menjalani latihan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Pada 8 April lalu, perancang tengah berusia 37 tahun itu membuat kejutan apabila menghantar surat menarik diri daripada TRW selepas Kafa berhasrat mahu menyemak semula kontrak mana-mana pemain yang dibawa masuk oleh MyInspiration Sdn Bhd.
Tindakan tersebut dibuat susulan pembatalan perjanjian kerjasama antara pemegang saham terbesar dalam Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, MyInspiration Sdn Bhd dengan Kafa dalam menguruskan skuad Liga Premier Kelantan, baru-baru ini.
Mohd Badhri antara pemain selain bekas penyerang import Uruguay, Raul Tarragona dan ketua jurulatih, Marko Kraljevic yang dibawa masuk oleh MyInspiration Sdn Bhd selepas termeterai perjanjian antara KRW Sdn Bhd dan Kafa, 24 Januari lalu.
Tegas beliau lagi, Kafa mempunyai asas yang kukuh mengarahkan Mohd Badhri kembali ke pangkuan pasukan walaupun sebelum ini dia mengikat perjanjian dengan KRW Sdn Bhd, selaku entiti swasta yang menguruskan pasukan bola sepak negeri itu.
"Kalau dahulu semua berdasarkan kontrak Kafa yang kena patuh, jadi (sekarang) rasanya baik (Mohd Badhri) ikut kontrak dahulu," katanya.
Sementara itu, Mohd Badhri dalam reaksi balasnya memberitahu, dia tidak ada masalah untuk turun berlatih namun Kafa mestilah menepati janji dengan membayar gaji seperti termaktub dalam kontrak.
“Dalam kontrak, gaji perlu dibayar setiap 7 haribulan tapi setakat ini belum masuk lagi. Saya harap Kafa jangan buat-buat lupalah,” katanya ringkas.
SINAR HARIAN ONLINE 10 Apr 2019