Ad

Wednesday, 10 April 2019

Piya rela makan 'gaji buta'

Ahad, 29 April 2018 | 12:16pm
 
BEKAS kapten Kelantan, Badhri Radzi menganggap tindakan dilakukan KAFA ke atas dirinya sebagai satu penganiayaan. - Foto Syamsi Suhaimi
Piya rela makan 'gaji buta'
Oleh Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi rela makan 'gaji buta' sehingga kontraknya tamat pada penghujung November ini jika tidak ada pasukan yang berminat ke atas dirinya pada perpindahan kedua bulan depan.

Badhri atau Piya masih menganggap dirinya sebagai anggota skuad Liga Super Kelantan dan akan tetap bersama pasukan itu sekalipun namanya sudah dipadamkan oleh jurulatih Fajer Ebrahim daripada senarai pemain musim ini.

Malah, pemain berusia 36 tahun akan terus menjalani latihan bersama The Red Warriors seperti biasa selagi Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak menggugurkannya secara rasmi.

Menurut Piya, walaupun sudah dimaklumkan oleh Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan mengenai kedudukannya dalam pasukan itu namun sehingga kini badan bola sepak itu tidak mengeluarkan sebarang surat hitam putih mengenai pengguguran dirinya.

"Saya sudah bertemu Presiden pada Rabu lalu untuk mengetahui kedudukan sebenar selepas hanya mengetahui berita pengguguran saya melalui kenyataan beliau kepada media.

"Beliau mengesahkan saya telah digugurkan oleh jurulatih daripada senarai pemain musim ini dan meminta saya mencari pasukan lain pada perpindahan kedua bulan depan.

"Saya akur dengan keputusan KAFA itu dan akan berusaha mencari pasukan baharu. Tapi selagi belum mendapat pasukan untuk diwakili, saya masih pemain Kelantan kerana kontrak saya berbaki sehingga akhir November ini.

"Saya sudah menghubungi beberapa pasukan tapi belum mendapat sebarang maklum balas positif. Dalam situasi semua pasukan sudah lengkap, memang agak sukar untuk saya mendapatkan tawaran.

"Kalau tidak dapat pasukan, saya akan tunggu sehingga kontrak saya tamat kecuali KAFA mahu menamatkan perjanjian itu serta membayar tuntutan gaji yang berbaki sehingga November.

"Selagi terikat dengan kontrak, saya akan terus turun menjalani latihan seperti biasa bersama pasukan walaupun saya sudah tidak ada dalam perancangan jurulatih," tegas Piya.

Pemain yang sudah melakukan lebih 200 penampilan bersama The Red Warriors sejak menyarung jersi pasukan itu pada 2008 menganggap tindakan dilakukan KAFA ke atas dirinya sebagai satu penganiayaan.

"Saya menolak tawaran beberapa pasukan lain pada awal musim kerana Presiden mahu saya kekal untuk membimbing pemain muda. Tapi, sekarang saya diperlakukan pula seperti bola yang ditendang sesuka hati.

"Kalau saya tahu jadi begini, sudah lama saya angkat kaki. Atas sebab itu saya tidak mahu bertolak ansur lagi dengan mereka kali ini.

"Saya rela menjadi penganggur dan makan gaji buta sehingga November jika tidak ada pasukan yang berminat ke atas saya," kata Piya.
SUMBER=BERITA HARIAN OMLINE Ahad, 29 April 2018 | 12:16pm

No comments:

Post a Comment