Ad

Friday 19 April 2019

Hazwan tak rela tercicir

MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Penyerang skuad kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri enggan langkahnya terhenti setakat aksi bertemu Maldives, sebaliknya berazam untuk menempatkan diri dalam skuad ke Piala AFF Suzuki 2018.

Bagaimanapun penyerang yang beraksi bersama juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui tiada laluan automatik buat dirinya mewakili skuad kebangsaan terutamanya selepas berdepan saingan sengit daripada rakan sepasukan.

Justeru, dia mengakui perlu bekerja lebih keras supaya dapat terus kekal dalam skuad kebangsaan dan mengelak daripada menjadi tiga pemain terakhir yang akan digugurkan oleh jurulatih, Tan Cheng Hoe selepas aksi menentang Maldives, 3 November ini.

“Terima kasih kepada jurulatih kepada memberi peluang buat saya kembali menyertai skuad kebangsaan. Saya rasa tidak akan berdepan masalah kerana sebelum ini pun pernah berada di bawah kendalian jurulatih Cheng Hoe,” kata Hazwan.

“Kehadiran rakan sepasukan yang lain sememangnya satu saingan yang baik. Pemilihan pemain untuk ke Piala AFF Suzuki 2018 terletak di tangan jurulatih tetapi saya akan memberikan yang terbaik untuk mewakili negara.”

Kali terakhir pemain berusia 27 tahun itu beraksi dalam skuad kebangsaan adalah ketika aksi bertemu Mongolia pada 22 Mac lalu yang berakhir dengan keputusan 2-2.

Bekas penggempur Selangor yang meledak dua gol pada pentas akhir Piala Malaysia 2015 itu antara lapan muka baharu yang dipanggil Cheng Hoe untuk aksi bertemu Maldives dan juga skuad ke Piala AFF Suzuki 2018.

Saingannya untuk merebut tempat dalam jentera serangan dilihat begitu sengit selepas Cheng Hoe turut memanggil dua rakan sepasukannya di JDT iaitu Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid, Shahrel Fikri Md Fauzi (Nakhon Ratchasima), Zaquan Adha Abdul Radzak (Kuala Lumpur), Nor Shahrul Idlan Talaha (Pahang) serta pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh.



SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 6:58 PM

No comments:

Post a Comment