Isnin, 18 Februari 2019 | 1:44pm
Aksi Piya (dua dari kiri) ketika beraksi bersama Kelantan pada Ogos 2016. - Arkib NSTP
Piya kembali ke pangkuan Kelantan?
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Berbaki kira-kira 48 jam sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup, perkhabaran Mohd Badhri Radzi kembali menyertai Kelantan seakan jadi realiti.
Mohd Badhri atau Piya yang sedang terhimpit dengan isu tunggakan gaji bersama Perlis pasti sedang berkira-kira sama ada mahu terus kekal atau pun berkelana ke pasukan lain termasuk pulang ke negeri kelahirannya.
Namun selepas topik ini hangat dibincangkan di media sosial oleh peminat bola sepak khususnya penyokong The Red Warriors, perkhabaran itu seakan betul ketika Piya turut hadir ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bagi 'melepaskan rindu' menyaksikan Kelantan menentang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC), semalam.
Ditambah lagi, Piya turut memuat naik dua keping gambarnya ketika mewakili Kelantan dalam media Instagram miliknya lengkap dengan kapsyen yang seakan membei bayangan sedia kembali menyarung jersi The Red Warriors.
"Mana baik jika berada di rumah sendiri dengan rumah orang lain... mana dok nyohh gi rumoh ore smetar caro teringat ko rumoh sendiri (mana tidaknya, pergi ke rumah orang sekejap, mula teringat rumah sendiri)."
Bagaimanapun, tiada pengesahan daripada Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd mengenai perkara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KRW Sdn Bhd, Fazli Mohammad hanya membuat pengesahan Kelantan akan membuat pendaftaran pemain baharu namun enggan mendedahkan indentiti pemain berkenaan.
"Kami buat rundingan (memang) banyak, tetapi kalau permintaan (pemain berkenaan) tinggi dan kami tidak mampu, saya tidak mahu ambil risiko.
"Memang kami akan ada pendaftaran pemain baharu. Mungkin seorang, mungkin dua dan juga mungkin tiga orang tetapi InsyaAllah akan diberitahu pada 20 hari bulan ini," kata Fazli.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 18 Februari 2019 | 1:44pm
No comments:
Post a Comment