Ad

Thursday 11 April 2019

Amri idam julang trofi

MyMetroNode
Bangkok: Peluang untuk menjulang trofi di depan penyokong sendiri kini menjadi motivasi pemain Harimau Malaya menjelang aksi final Piala AFF 2014 menentang Thailand.

Bagi pemain sayap Amri Yahyah, ia pasti menjadi kenangan lebih indah jika mendakap kejuaraan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini selepas melakukannya buat kali pertama pada 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

“Kita akan berusaha mendapatkan piala, saya percaya kalau semua pemain dapat berikan komitmen tinggi tidak mustahil kita dapat hadiahkan kejuaraan buat semua peminat di Kuala Lumpur,” katanya.

Bagaimanapun impian itu bukan mudah kerana skuad kendalian Dollah Salleh itu perlu berdepan juara tiga kali, Thailand di Stadium Nasional Rajamangala bagi final pertama sebelum aksi timbal balik di SNBJ.

Rekod pertemuan nyata tidak memihak kepada Harimau Malaya apabila tewas kepada skuad Gajah Perang kendalian Kiatisuk Senamung pada aksi peringkat Kumpulan B di Singapura 2-3.

Amri, 33, yang menggegar gawang Thailand pada aksi peringkat kumpulan tetap percaya mereka boleh menghapuskan badi itu.

Apatah lagi dia kini cukup bersemangat memainkan peranan utama di final selepas hanya diturunkan sebagai pemain gantian ketika Malaysia menundukkan Indonesia di final dua tahun lalu.

“Saya akan berusaha menjaringkan gol kerana ini perlawanan terakhir tahun ini. Memang saya harap untuk berada dalam kesebelasan utama dan jika diberi peluang saya perlu berusaha untuk kemenangan pasukan.

“Bagi saya Thailand juga ada kelemahan, bahagian serangan dan tengah mereka jarang turun membantu pertahanan dan di situ kita boleh ambil kesempatan melancarkan serangan pantas,” kata Amri.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 6:43 AM

No comments:

Post a Comment