MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
PEMAIN import Pahang, Saddil Ramdani mengakui belum berpuas hati dengan prestasi dipersembahkan bersama skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) khususnya Liga Super.
Pemain berasal dari Indonesia itu berkata, masih banyak perlu dipertingkatkan terutama dari segi gaya permainan untuk membantu pasukan mencapai kejayaan.
"Secara peribadi, tiada istilah berpuas hati setiap kali perlawanan kerana masih banyak yang perlu dipelajari untuk menjadi pemain lebih baik.
"Apa perlu dilakukan adalah perlu bekerja keras dan bermain dengan lebih baik.
Namun, setakat ini, saya tetap bersyukur dengan kerjasama yang diberikan," kata pemain sayap berumur 20 tahun itu.
Saddil, bekas pemain Persela Lamongan, Indonesia setakat ini menjaringkan satu gol ketika Pahang menewaskan Kuala Lumpur 3-1, awal Februari lalu.
Ditanya peluang mencatat kemenangan ke atas PKNS FC di Stadium Shah Alam, Ahad ini, Saddil percaya skuad itu akan tampil dengan prestasi terbaik.
Katanya, keputusan seri 1-1 dengan PJ City FC minggu lalu diharap ditebus untuk kembali mengukuhkan kedudukan dalam saingan liga.
"Oleh itu, saya dan rakan sepasukan akan memastikan Pahang beraksi pada prestasi terbaik biarpun berdepan tugas getir di tempat lawan," katanya.
Selepas lapan perlawanan, skuad kendalian Dollah Salleh berada di tangga kedua liga mengutip 18 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT), 20 mata.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 3:28 PM
No comments:
Post a Comment