Ad

Tuesday 9 April 2019

Tok Gajah perlu serius rampas takhta -Dollah

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh. - Foto Owee Ah Chun
Tok Gajah perlu serius rampas takhta -Dollah
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Skuad Tok Gajah perlu memastikan setiap perlawanan selepas ini berakhir dengan kutipan tiga mata jika mahu misi merampas takhta Liga Super tercapai.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan skuad PJ City FC Sabtu lalu, pengendali Pahang, Dollah Salleh berharap kekecewaan itu tidak berulang dalam aksi selepas ini.

"Kalau kita ingin berikan saingan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), kena pastikan setiap perlawanan selepas ini berakhir dengan kemenangan.

"Pemain kita berpeluang untuk menjaringkan lebih daripada satu gol ketika bertemu PJ City FC hujung minggu lalu, tapi nampaknya mereka (pemain) tidak memanfaatkan setiap peluang yang ada.

"Jadi, selepas ini saya tidak mahu kesilapan sama berulang... kalau sudah ada peluang (untuk jaringkan gol), kenapa nak tunggu atau teragak-agak lagi," katanya.

Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, kehadiran penyerang berbisa mereka, Dickson Nwakaeme pada separuh masa kedua juga tidak banyak membantu, memandangkan pemain kelahiran Nigeria untuk tidak sempat menjalani latihan secukupnya, selepas berehat bersama ahli keluarganya selama dua minggu.

"Dia (Nwakaeme) belum berada pada tahap terbaik kerana baru sahaja kembali menyertai pasukan selepas bercuti selama dua minggu.

"Saya rasa Nwakaeme boleh beraksi pada tahap sebenar tidak lama lagi, biar dia kembali menjalani latihan dengan rakan sepasukan terlebih dahulu dan saya percaya dia akan mempamerkan prestasi sebenar dalam aksi selepas ini," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 9 April 2019 | 1:58pm

No comments:

Post a Comment