Isnin, 22 Februari 2016 | 12:46pm
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
PATRICK Ronaldinho dan Nazmi Faiz Mansor.
KUALA LUMPUR: Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan, menarik nafas lega selepas beberapa tonggak utama The Red Giants kembali pulih daripada kecederaan menjelang perlawanan pertama Piala AFC berdepan Ceres FC di Stadium Panaad, Filipina, esok.
Tonggak termasuk Patrick Ronaldinho dan Nazmi Faiz Mansor yang sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan sah bersama pasukan ke Filipina, semalam.
Bagaimanapun, Zainal tetap kehilangan khidmat wira mereka pada final Piala Malaysia musim lalu, Ahmad Hazwan Bakri, yang masih dibelenggu kecederaan bersama Fittri Shazwan Raduwan.
"Kecederaan Patrick tidak begitu serius. Memang masalah kecederaan membimbangkan saya memandangkan empat atau lima pemain berada dalam senarai kecederaan. Kalau boleh, saya tidak mahu jumlah itu bertambah.
"Dua atau tiga pemain yang sebelum ini dalam senarai kecederaan sudah beransur pulih dan kita ada masa lagi sebelum bertemu Ceres. Saya juga harap pemain lain dalam keadaan baik kerana ini perlawanan peringkat antarabangsa.
"Hanya Ahmad Hazwan dan Fittri Shazwan sah tidak ke Filipina kerana belum pulih sepenuhnya," kata Zainal yang baru sahaja membawa Selangor mara ke pusingan ketiga Piala FA selepas menewaskan Air Asia All Star FC 2-0, Jumaat lalu.
Selangor layak ke Piala AFC 2016 selepas dinobatkan sebagai naib juara Liga Super musim lalu apabila Pahang dipotong enam mata oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berikutan isu pampasan dan gaji bekas pemain import dari Maghribi, Mohamed Borji.
Selangor diundi dalam Kumpulan E bersama Ceres, Tampines Rovers (Singapura) dan Sheikh Jamal Dhanmondi (Bangladesh).
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 22 Februari 2016 | 12:46pm
No comments:
Post a Comment