Ad

Thursday 11 April 2019

Amri galas tugas robek Bos Gaurus

MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
 
KHIDMAT ‘kuda tua’ iaitu penyerang veteran Selangor Amri Yahyah menjadi sandaran utama bagi merobek gawang Perak pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, Selangor, Jumaat ini.

Pengendali Selangor B Sathianathan berkata, Amri yang berusia 38 tahun akan terus menggalas cabaran merobek gawang lawan untuk Gergasi Merah selepas mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Melaka United, baru-baru ini.

Beliau berkata, Amri menunjukkan komitmen tinggi sekali gus mampu menyelesaikan masalah di bahagian serangan selain dapat membimbing pasukan dengan baik.

“Kita mempunyai lima pemain yang cedera dan besar kemungkinan tidak boleh diturunkan ketika menentang Perak nanti.

“Oleh itu, saya tidak banyak pilihan dan perlu menggunakan segala kekuatan yang ada memandangkan Perak bukanlah calang-calang pasukan kerana mereka mempunyai pemain berpengalaman dan sudah lama bersama,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sathia berkata, beliau akan mengekalkan sebahagian besar pemain yang diturunkan ketika menentang Melaka United sebelum ini.

“Saya mengharapkan pemain dapat mengekang asakan daripada pihak lawan kerana mereka mempunyai rekod cemerlang iaitu hanya sekali tumpas. Walaupun, kita bermula perlawanan liga dengan keputusan kurang memuaskan namun akan bangkit memperbaiki kedudukan untuk saingan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Sathia berkata, pemain yang cedera mungkin mengambil masa sehingga beberapa minggu untuk pulih sebelum dibenarkan beraksi.

“Rufino Segovia, Wan Zack Haikal, Endrick dan dua pemain masih lagi cedera sekali gus pasukan sebenarnya kekurangan pemain untuk diturunkan.

“Namun, saya berharap pemain yang ada boleh mengekalkan momentum kemenangan sekali gus mengembalikan kegemilangan pasukan,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 5:33 PM

No comments:

Post a Comment