Ad

Sunday, 7 April 2019

Saya akan bersara bersama KL - Indra Putra Mahayuddin

KAPTEN Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin (kanan) mengekang pemain PKNS FC pada aksi pemanas badan menjelang saingan Liga Super 2018 di Stadium Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Mohd Badlishah Mohd Ali
Saya akan bersara bersama KL - Indra Putra Mahayuddin
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin membuktikan betapa dia masih kuat untuk mengetuai pasukan baharunya, Kuala Lumpur menjadi antara pencabar utama Liga Super musim ini.

Meskipun sudah menginjak usia 37 tahun, namun anak kelahiran Perak itu tetap diberi kepercayaan selepas dilantik menjadi kapten pasukan skuad 'The Hawks' dengan dia kini memikul tanggungjawab untuk membantu perkembangan pemain muda pasukan itu.

Justeru, dia akan terus memperjuangkan kariernya namun mengakui perjalanan karier bola sepaknya kian menghampiri penghujung dan sudah memberi bayangan untuk bersedia menggantung butnya.

"Sebagai pemain bola sepak, sudah pasti saya mahu terus mencapai banyak lagi kejayaan dan memburu penamat karier yang manis.

"Dilihat kepada kemampuan saya, saya masih boleh beraksi selama dua tahun lagi dan jika Kuala Lumpur terus mahukan khidmat saya pada musim hadapan, berkemungkinan besar saya akan menamatkan karier saya bersama pasukan ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pemilihan Indra untuk memegang lilitan kapten dilihat sebagai keputusan yang tepat apatah lagi berdasarkan pengalaman luasnya selaku pemain bola sepak bersama pelbagai kelab di negara ini selain pernah beraksi bersama skuad kebangsaan sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenai pasukan bimbingan Fabio Maciel itu, Indra mengakui Kuala Lumpur adalah pasukan yang 'kerdil' namun memiliki semangat yang besar untuk menyaingi pasukan gergasi bola sepak tempatan yang lain.

"Secara dasarnya, pasukan ini dibarisi dengan kombinasi pemain muda dan pemain berpengalaman jadi sedikit sebanyak faktor ini dapat membantu perkembangan pemain muda.

"Kekuatan pasukan Kuala Lumpur adalah sifat kekeluargaan yang ada dalam pasukan ini dan kami akan pastikan Stadium Cheras menjadi kubu kuat kami pada musim ini," katanya.

Kuala Lumpur layak ke saingan Liga Super 2018 selaku juara Liga Perdana musim lalu dengan mengetepikan Terengganu sekali gus menamatkan penantian lima tahun pasukan terbabit selepas tersingkir ke Liga Perdana pada 2013.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 22 Januari 2018 | 6:57pm

No comments:

Post a Comment