Ad

Tuesday, 16 April 2019

Jangan ambil mudah

MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Jangan ambil mudah ketika berdepan kelompok pasukan tercorot dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana ia boleh memakan diri.

Demikian peringatan bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe apabila dijadual mengharungi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022 pada awal Jun ini, ketika umat Islam masih rancak meraikan Aidilfitri.

Berdasarkan ranking terkini FIFA, Malaysia yang menghuni tangga ke-168 dunia dan ke-35 zon Asia terpaksa menempuh pusingan awal itu dengan kemungkinan bakal menentang negara yang langsung tidak memiliki liga profesional seperti Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan dan Sri Lanka.

Akmal yang pernah berkelana di Perancis dengan beraksi bersama kelab RC Strasbourg dan FCSR Haguenau mahu pemain negara fokus dan tidak mendabik dada menjelang aksi timbal balik itu nanti.

Katanya, tragedi 1997 ketika skuad negara tewas mengejut 0-1 kepada Laos pada saingan Sukan SEA di Jakarta harus dijadikan pengajaran supaya insiden sama tidak berulang pada kempen kelayakan Piala Dunia ini.

“Tidak kira siapa lawan kita nanti, pemain tidak harus mengambil ringan sebaliknya perlu fokus walaupun kekuatan pihak lawan mungkin jauh ketinggalan daripada kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berdasarkan undian yang akan dijalankan di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bukit Jalil hari ini, peluang skuad negara untuk mara ke pusingan berikutnya tampak cerah apabila diletakkan dalam balang satu (ranking 35-40 zon Asia) bersama Kemboja, Macau, Laos, Bhutan dan Mongolia.

Manakala, balang dua pula (ranking 41-46 zon Asia) diisi Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan dan Sri Lanka yang hanya bermain bola sepak secara separuh masa berbanding skuad Harimau Malaya yang dibarisi pemain profesional bergaji lumayan dalam Liga Malaysia.

“Kalau dilihat atas kertas, kita seharusnya tidak mempunyai masalah besar untuk melepasi playoff ini kerana tahap kita jauh lebih baik daripada pasukan berkenaan.

“Tetapi macam saya katakan tadi, dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi dan ia dibuktikan apabila ada pasukan besar pernah tewas di tangan pasukan kerdil ekoran mengambil sikap mudah.

“Namun saya percaya Cheng Hoe pasti akan mengingatkan anak buahnya dan cuba mencari kemenangan pada aksi itu nanti,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 8:30 AM


No comments:

Post a Comment