Ad

Sunday, 7 April 2019

Jodoh Indra bersama Kelantan berakhir

PEMAIN Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kiri) akhirnya menamatkan spekulasi mengenai kedudukannya bersama Kelantan apabila mengesahkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak menawarkan kontrak baharu kepadanya. - Foto Syamsi Suhaimi
Jodoh Indra bersama Kelantan berakhir
Oleh Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my
KOTA BHARU: Pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin akhirnya menamatkan spekulasi mengenai kedudukannya bersama Kelantan apabila mengesahkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak menawarkan kontrak baharu kepadanya.

Menerusi entri terbaru di laman sosial Instagramnya, Indra, 36, memberitahu perjanjian bagi menentukan masa depannya bersama The Red Warriors (TRW) sepatutnya ditentukan selepas dia kembali daripada bercuti pada 20 November ini dan perkara itu sudah dipersetujui kedua-dua pihak.

Namun, katanya, KAFA bertindak lebih awal dengan mengumumkan tidak menawarkan kontrak tanpa memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepadanya.

"Saya nak betulkan banyak salah faham dekat media sosial mengenai status (tawaran kontrak) yang diumumkan presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan.

"(Sebenarnya) perjanjian untuk memuktamadkan dan berbincang mengenai hala tuju saya (bersama TRW) sepatutnya diputuskan selepas saya pulang dari bercuti pada 20 November ini dan itu pun sudah dipersetujui oleh presiden.

"(Namun) keputusan terbabit sudah dibuat awal tanpa memaklumkan terlebih dahulu, jadi tiada istilah KAFA mengemukakan kontrak kepada saya," katanya.

Beliau yang pernah menyarung jersi kebangsaan itu turut dukacita dengan keputusan yang dibuat, namun tetap menerima dengan hati terbuka tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

"Walau apapun yang sudah terjadi, saya sebagai pemain profesional menerima dengan hati yang terbuka dan apa juga keputusan dibuat demi kebaikan pasukan.

"Saya rasa sudah cukup setakat ini untuk saya jelaskan dan sila hentikan spekulasi dan salah faham ini," katanya.

Pada masa sama, Indra juga memberitahu keputusannya untuk mengadakan rundingan dengan pasukan lain musim depan tidak perlu dipersoalkan kerana kontraknya bersama TRW sudah berakhir.

"Soal rundingan dengan pasukan lain itu berhak saya buat kerana kontrak saya bersama Kelantan sudah tamat pada musim ini," katanya.

Sebelum ini, BH Sukan melaporkan khidmat pemain kelahiran Ipoh, Perak itu diintai oleh pendatang baharu Liga Super musim depan, Kuala Lumpur.

Indra sebelum ini pernah mewakili beberapa pasukan antaranya Perak, Pahang, Selangor, T-Team dan FELDA United.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 18 November 2017 | 8:36pm

No comments:

Post a Comment