Ad

Friday, 26 April 2019

Baddrol selamat aib Kedah

MyMetroArena
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my

HASRAT Kedah yang mahu bangkit mengutip mata penuh terhalang apabila sekadar seri 1-1 dengan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Pelawat membuka tirai jaringan seawal minit ke-18 menerusi bekas pemain tengah Kedah, Sandro Da Silva.

Sandro menyambut hantaran ke belakang Azreen Zulkafali sebelum melakukan percubaan cantik yang melepasi jangkauan penjaga gol tuan rumah Ifwat Akmal Chek Kassim.

Syahmi Safari hampir menambah gol kedua Selangor selepas mendapat hantaran Sean Selvaraj pada minit ke-22 namun percubaannya gagal membuahkan hasil apabila tersasar sedikit ke sebelah kanan gawang Kedah.
 
BADDROL (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Selangor, Syazwan Zainon (kiri). — FOTO BERNAMA
Lima minit sebelum rehat, Kedah berjaya menyamakan kedudukan menerusi kaptennya Baddrol Bakhtiar.

Hantaran silang Azmeer Yusof dari sebelah sayap kanan disambut dengan tandukan cantik Baddrol yang menewaskan penjaga gol Farizal Harun sekali gus menceriakan penyokong tuan rumah.

Keputusan seri itu menyaksikan Kedah kekal di tangga keempat dengan 16 mata, satu mata di belakang Selangor yang menghuni tangga ketiga Liga Super.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 11:35 PM


No comments:

Post a Comment