Ad

Wednesday, 10 April 2019

Bekas bintang EPL kecewakan JDT

Harimau Selatan beri tentangan sengit sebelum kalah
 BINTANG muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid berjaya meletakkan
BINTANG muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid berjaya meletakkan diri sebagai penjaring ketika aksi menentang Shandong Luneng FC dalam aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia di Stadium Olimpik Jinan, sebentar tadi. - GAMBAR FACEBOOK JOHOR Southern Tigers.
09 April 2019 9:23 PM

196
KUALA LUMPUR 9 April - Persembahan terpuji disajikan barisan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun tewas tipis 1-2 kepada Shandong Luneng FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia di Stadium Olimpik Jinan, sebentar tadi.

Sebaik sahaja sepak mula, kubu pertahanan JDT diasak bertali arus oleh barisan serangan Shandong sehingga memaksa barisan pertahanan diketuai Mauricio Nascimento bekerja keras.


Usaha tuan rumah untuk mencari gol pendahuluan akhirnya berjaya menerusi tandukan bekas pemain Manchester United, Maroune Fellaini pada minit ke-30 untuk meletakkan tuan rumah mendahului 1-0.

Tujuh minit selepas itu, giliran bekas penyerang Southampton, Graziano Pelle menggandakan jaringan selepas menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak untuk menewaskan penjaga gol Harimau Selatan, Farizal Marlias buat kali kedua.

Terdahulu, sepakan penalti itu sedikit kontroversi apabila cubaan Aidil untuk mengeluarkan bola itu gagal sebelum kakinya terkena Pelle menyebabkan penyerang Itali itu terjatuh.

Seminit selepas bersambung babak kedua, skuad kendalian Li Xiaopeng berpeluang menggandakan jaringan namun rembatan Jin Jingdao dalam kotak penalti berjaya dinafikan Farizal.

Keghairahan tuan rumah melakukan serangan, dihukum pemain sayap JDT, Safawi Rasid dengan sepakan lencong menarik dari luar kotak penalti bola menuju ke penjuru gol kanan gawang yang dikawal penjaga gol Shandong, Wang Dalei untuk jaringan pertama peribadinya di pentas kejuaraan berprestij Asia itu pada minit ke-60.

JDT hampir membawa pulang satu mata berharga namun sepakan bola mati pemain tengah lincah dari Argentina, Gonzalo Cabrera sekadar menggegar palang pasukan tuan rumah pada minit terakhir babak kedua sekali gus melegakan Xiaopeng.

Kekalahan itu menyaksikan JDT terus menghuni tangga tercorot Kumpulan E dengan satu mata selepas tewas dua kali serta seri sekali selepas mengharungi tiga perlawanan.

Pasukan Harimau Selatan masih berpeluang untuk meraih kemenangan sulung apabila bakal melayan kunjungan Kashima Antlers dan Shandong di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos, Larkin serta berdepan Gyeongnam di laman lawan bagi aksi timbal balik. - UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/bekas-bintang-epl-kecewakan-jdt-1.879513#ixzz5khRQdiQr
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment