SHAHRIZAL AHMAD ZAINI | | 3 Oktober 2020
Diogo (kanan) menyumbang gol pertama JDT ketika menentang Sabah di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi. -Foto FB Johor Southern Tigers
JDT mengesahkan status selaku juara CIMB Liga Super 2020 setelah menewaskan Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.Kejayaan berkenaan sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri buat skuad Harimau Selatan itu yang dinobatkan selaku juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.
JDT bermula garang sebaik wisel permulaan menerusi asakan bertali arus ke gawang pelawat dalam usaha membuka jaringan.Bagaimanapun, usaha mereka hanya berhasil pada minit ke-38 menerusi jaringan bintang import, Diogo Santo mudah menolak masuk bola lorongan cantik Mohd Afiq Fazail.
Gol itu semakin menyemarakkan semangat kesebelasan JDT untuk mengasak ke gawang Sabah, namun gagal melepasi benteng skuad Tambadau itu selain menyaksikan beberapa percubaan yang dilakukan gagal menepati sasaran.Pada penghujung babak pertama, Sabah hampir menyamakan kedudukan, namun tandukan pemain import, Park Tae Su yang naik membantu jentera serangan pelawat sedikit tersasar.
Kedua-dua pasukan dilihat saling menggandakan asakan bagi menambah jaringan pada babak kedua, namun percubaan-percubaan yang dilakukan dilihat gagal menepati sasaran.
JDT bagaimanapun berjaya menambah jaringan pada minit ke-56 menerusi percubaan cantik Safawi Rasid yang berjaya melepasi kawalan pertahanan sebelum merembat melepasi jangkauan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.
Ketinggalan dua gol nyata tidak melemahkan semangat kesebelasan Sabah yang dilihat tetap bersemangat mengatur asakan ke gawang JDT hingga berjaya menjaringkan gol menerusi percubaan cantik pemain import, Dennis Buschening pada minit ke-74.
Gol berkenaan dilihat mula memberikan suntikan semangat kepada kesebelasan pelawat untuk kembali mengatur serangan bagi menambah jaringan.
Bagaimanapun, hasil satu serangan balas Safawi menyumbat gol ketiga JDT pada minit ke-81 sebelum pemain import JDT, Leandro Velazquez meledak gol keempat Harimau Selatan menerusi sepakan percuma dua minit kemudian.
Tiada sebarang jaringan berjaya dihasilkan sehingga ke wisel penamat, sekali gus mengesahkan JDT selaku juara Liga Super kali ketujuh berturut-turut.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/103670/BERITA/Sukan/JDT-juara-CIMB-Liga-Super-2020© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
No comments:
Post a Comment