Oleh Asrol Awang - Oktober 8, 2020 @ 7:56pm
sukanteam@nstp.com.my
Aksi Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim (jersi kuning) ketika bertemu pasukan PDRM sebelum ini. - Foto ihsan FB Pahang FA.
KUANTAN: Bukan sahaja mahu membantu Pahang mencatat kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) Ahad ini, malah pemain tengah, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim berazam untuk muncul selaku penjaring.
Pada dua perlawanan berturut-turut, pemain kelahiran Kuantan, itu menjaringkan dua gol, masing-masing satu gol ketika skuad Tok Gajah menewaskan Kedah 2-1 dan terikat 3-3 dengan Perak.
Justeru, Nik Muhammad Sharif yang kini menjadi pilihan selaku pemain utama pasukan Pahang mengharapkan dua misi itu menjadi kenyataan terutama pada perlawanan penutup tirai Liga Super musim ini.
"Kalau boleh memang saya mahu menjadi antara penjaring buat pasukan pada perlawanan Ahad ini. Tetapi fokus utama ialah memastikan Pahang mengutip tiga mata pada perlawanan terakhir itu.
"Setakat ini, saya amat berpuas hati dengan prestasi semasa terutama menjaringkan dua gol ketika bertemu Kedah dan Perak. Saya harap prestasi ini berterusan bukan sahaja pada saingan Liga Super, malah di Piala Malaysia," kata pemain berumur 23 tahun ini.
Nik Muhammad Sharif berkata, skuad itu akan tampil dengan prestasi lebih mantap selepas sekadar mengutip satu mata ketika terikat 3-3 berdepan Perak minggu lalu.
Katanya, segala kelebihan dan kekuatan yang dimiliki TFC akan disekat untuk menafikan tuan rumah itu mengutip tiga mata.
"Bagi saya kekuatan TFC ialah di bahagian tengah yang memerlukan kami lebih kental dan memperkasakan jentera pertahanan di samping jentera serangan juga lebih padu," katanya.SUMBER-SUKAN BH ONLINE
No comments:
Post a Comment