Ad

Wednesday, 7 October 2020

NS tak rela tewas lagi

MyMetroArena



Mohd Amin Jalil

am@hmetro.com.my

Seremban: "Saya harap kekecewaan ini tidak berpanjangan sehingga kepada perlawanan terakhir liga," kata Pengurus pasukan Liga Perdana Negeri Sembilan, Abdul Razak Mohd Idris.

Beliau yang mengambil alih jawatan berkenaan pada pertengahan musim, akui tidak berpuas hati dengan prestasi skuad Hobin Jang Hobin ketika ini dan tidak rela melihat skuad berkenaan tersungkur lagi apabila menentang Sarawak United, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini.

Katanya, sebelum ini, pasukan itu gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut menentang Kuching FC di tempat sendiri dan Kelantan FC di laman lawan.

"Prestasi pasukan jelas mengecewakan saya, bukan sahaja persembahan yang tidak konsisten, malah pemain dilihat tidak fokus.

"Walaupun pelbagai program latihan dilakukan oleh ketua jurulatih, Sazali Saidun, namun persembahan masih tiada peningkatan.

"Saya juga kecewa dengan beberapa pemain terutamanya import, walaupun 90 peratus dikekalkan pada musim ini tetapi pasukan tidak memanfaatkan peluang yang ada dan mereka dilihat sering hilang fokus dalam perlawanan," katanya.

Negeri Sembilan mempertaruhkan empat pemain import membabitkan tiga dari Brazil iaitu Matheus Fernandes Vila, Jose Almir Neto dan Igor Luiz manakala Shunsuke Nakatake berasal dari Jepun.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, persembahan yang mengecewakan itu menyebabkan skuad Rusa kini dilihat sukar mempamerkan kebangkitan, malah gawang mudah dibolosi sehingga mendapat perbezaan jaringan yang besar dengan pasukan lain.

"Saya berharap pemain dapat bekerja keras dan kekal fokus untuk perlawanan terakhir Jumaat ini.

"Hasrat kita untuk layak ke saingan Piala Malaysia amat bergantung kepada keputusan perlawanan berkenaan. Saya harap pasukan dapat kemenangan," katanya.

Ketika ini, Negeri Sembilan menduduki tangga kelapan carta dengan 11 mata selepas sekadar mencatatkan tiga kemenangan, dua seri dan lima kalah.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 7:19 PM

No comments:

Post a Comment