SHAHRIZAL AHMAD ZAINI | | 8 Oktober 2020
Safawi bersama Sampaio pada majlis memperkenalkannya sebagai pemain baharu Portimonese SC - Foto FB Portimonese SC
Pemain negara, Safawi Rasid mahu memanfaatkan peluang beraksi dengan kelab Liga Primeira Portugal, Portimonense S.C dalam usaha mencapai cita-citanya untuk beraksi dalam saingan liga bola sepak Eropah.Menurut pemain berusia 23 tahun itu, dia sudah tidak sabar untuk mengikuti jejak langkah beberapa bekas pemain kelab berkenaan yang kini beraksi bersama 'kelab besar' di Eropah seperti pemain Brazil Bruno Tabata yang kini beraksi dengan Sporting Lisbon dan Shoya Nakajima (FC Porto).”Saya tahu di sini ramai pemain dari Portimonense yang berhijrah ke kelab besar seperti (Bruno) Tabata dan (Shoya) Nakajima, jadi saya di sini untuk menunjukkan segalanya untuk mengikuti jejak langkah mereka.”
"Yang pasti, saya akan berikan yang terbaik untuk Portimonense, jadi saya tidak sabar untuk beraksi bersama kelab ini dan saya berharap adanya saya di sini, saya mahu memberikan sesuatu buat pasukan.
"Sebagai pemain bola sepak sudah pasti saya mahu cepat untuk beraksi untuk membantu pasukan, saya tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan pertama dan seterusnya,” katanya.
Safawi berkata demikian pada satu sidang media bagi memperkenalkannya kehadirannya secara rasmi sebagai rekrut terbaharu kelab berkenaan.
Pada sidang media berkenaan, bekas bintang JDT itu yang bakal menggunakan jersi bernombor 29 telah diperkenalkan oleh Presiden Portimonense S.C, Rodiney Sampaio.
Sementara itu menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh laman sesawang rasmi Portimonense S.C, Safawi disifatkan sebagai pemain berbakat besar setelah mempamerkan persembahan menarik ketika membantu skuad negara dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta menjadi tunjang kepada kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Justeru menurut kenyataan berkenaan, Safawi yang juga dilihat sebagai prospek besar buat bola sepak negara telah memeterai perjanjian selama semusim secara pinjaman dengan kelab berkenaan dengan pilihan untuk perpindahan tetap.
”Safawi adalah seorang pemain dari Malaysia yang juga menjadi pemain terakhir bakal memperkuatkan pasukan, telah diperkenalkan pada petang Rabu kepada media di bilik media Portimao Estadio oleh Rodiney Sampaio.
"Sehingga tamat musim ini Safawi menjadi pemain Portimonense secara pinjaman daripada JDT; namun Portimonense Futebol SAD boleh mengaktifkan pilihan untuk pembelian secara tetap," menurut kenyataan itu lagi.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/104403/BERITA/Sukan/Safawi-mahu-manfaat-peluang© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
No comments:
Post a Comment