Ad

Friday 17 November 2017

Alex masih pertimbang tawaran pasukan lain



Khamis, 16 November 2017 | 8:47pm
 
PEMAIN JDT, Azamuddin Mohd Akil (kiri) masih pertimbang tawaran beberapa pasukan selepas JDT tak lagi berminat menyambung kontraknya musim depan. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Alex masih pertimbang tawaran pasukan lain
Oleh Mohd Rafi Mamat
sukanteam@nstp.com.my

KUANTAN: Bekas penyerang kebangsaan, Azamuddin Akil masih mempertimbangkan tawaran beberapa pasukan selepas juara Liga Super dan Piala Malaysia 2017, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak lagi berminat menyambung kontraknya musim depan.

"Selepas dua musim bersama JDT, tiba masanya saya beralih agin meneruskan kerjaya bola sepak dengan pasukan baru musim depan yang mungkin lebih mencabar dan mampu memberikan sinar baru dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Sebagai pemain profesional, saya sentiasa bersedia menerima apa saja keputusan dan pengumuman digugurkan oleh pengurusan (JDT) sudah dijangka," kata pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

Azamuddin yang lebih terkenal dengan panggilan Alex berkata, dia yakin masih mampu memberikan persembahan terbaik bersama pasukan baru seperti pernah dipamerkan ketika bersama pasukan kebangsaan dan JDT.

Katanya, keputusan pasukan mana yang akan disertai musim depan hanya ditentukan selepas memikirkan pelbagai perkara.

"Saya perlu melupakan terus kisah lalu dan usaha membuka buku baru perlu dilakukan bersama pasukan baru. Justeru tawaran diterima perlu dipertimbangkan secara bijak demi masa depan yang lebih berjaya.

"Saya tidak boleh mendedahkan nama pasukan yang memerlukan khidmat saya selagi keputusan terakhir belum dibuat oleh kedua belah pihak," kata bekas penyerang Pahang yang berjaya membantu skuad Tok Gajah menjulang Piala Malaysia dua musim berturut-turut (2013/2014).

Semalam, akhbar menyiarkan laporan tiga pemain JDT iaitu Azamuddin, S Chanturu dan R Gopinathan digugurkan dan keputusan itu diumumkan sendiri oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi akaun rasmi Facebook, Johor Southern Tigers (JST).

Rakan senegeri Alex iaitu R Gopinathan dikatakan menerima tawaran daripada Melaka United (MU).
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 16 November 2017 | 8:47pm

No comments:

Post a Comment