Ad

Monday, 13 November 2017

Safiq pilihan terbaik: Vingada

Daripada Zulfaizan Mansor di Buriram dan Thailand
sukanteam.com.my
 
SENTUHAN berbisa kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim ditagih jurulatih, Nelo Vingada untuk mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, malam esok.

Menurut Vingada, Safiq pilihan terbaik yang beliau ada ketika ini untuk bertindak sebagai perancang utama Harimau Malaya selepas kembali daripada penggantungan kerana dilayang kad merah pada pertemuan dengan Hong Kong, bulan lalu.

Ketiadaan perancang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyaksikan persembahan serba tidak menjadi dipamerkan Harimau Malaya ketika tewas 1-4 kepada Korea Utara di stadium sama, kelmarin.

“Dia (Safiq) terlepas aksi pertama (berdepan Korea Utara) kerana penggantungan, tapi dia tetap berada dalam senarai pemain ke sini (Buriram) dan berlatih bersama kami.

“Safiq pilihan terbaik yang saya ada. Jadi, saya percaya kehadirannya dapat melakukan perubahan dalam permainan pasukan ke arah yang lebih baik pada perlawanan malam esok,” kata Vingada.

Safiq yang juga bekas pemain Selangor bagaimanapun berdepan isu peribadi sejak minggu lalu apabila video dia meluahkan kata-kata kesat terhadap pengkritiknya selepas aksi final Piala Malaysia tular di media sosial.

Namun, dia perlu mengetepikan seketika masalah di luar padang bagi mengelak sebarang tekanan kerana perlawanan malam esok cukup penting dalam menentukan sama ada Harimau Malaya masih berpeluang untuk melepasi saingan kelayakan atau sebaliknya.

Malaysia wajib menang ke atas Korea Utara untuk meneruskan sisa perjuangan mereka ke pusingan akhir kejohanan tertinggi Asia itu selepas hanya mengumpul satu mata daripada empat perlawanan.

Dalam perkembangan lain, Vingada mengesahkan dua tonggak pertahanan, S Kunanlan dan Fazly Mazlan serta pemain tengah, Syamer Kutty Abba kemungkinan besar tidak dapat diturunkan kerana kecederaan.

Malah, Fazly dan Syamer dilihat tidak menyertai latihan bersama pasukan semalam dan difahamkan hanya melakukan proses pemulihan di hotel.

“Sudah pasti saya perlu melakukan beberapa perubahan kerana Fazly, Kunanlan dan Syamer mengalami kecederaan, mereka mungkin tidak sempat pulih sepenuhnya kerana tempoh perlawanan singkat,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 6:32 PM

No comments:

Post a Comment