Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
DUA tonggak utama Johor Darul
Ta’zim (Johor DT) Izham Tarmizi Roslan dan Fazly Mazlan yang dipinggirkan pada
final Piala Malaysia 2014 bakal menjadi watak penting dalam pemburuan kejuaraan
hari ini.
Penjaga gol Izham tiada dalam
skuad Harimau Selatan itu pada final tiga tahun lalu menentang Pahang kerana
mengalami kecederaan buku lali ketika mewakili negara di Sukan Asia Incheon.
Bagi pemain berusia 26 tahun
itu, dia sudah bersedia untuk menjadi benteng terakhir Johor DT berdepan juara
bertahan Kedah di Stadium Shah Alam hari ini.
“Kali terakhir Piala Malaysia
dibawa ke Johor pada 1991, sudah sebaya dengan usia saya 26 tahun. Saya rasa
inilah masanya untuk kami hadiahkan kepada penyokong Johor DT.
“Kita tahu Kedah pasukan baik
musim ini, kita juga tahu mereka memiliki beberapa pemain dengan kemahiran
individu yang baik. Tapi jurulatih ada taktikal tersendiri apa yang kita perlu
buat, saya rasa untuk final ini kita ada peluang, Kedah juga ada peluang tapi
pasukan yang baik akan menang final ini,” katanya.
Sementara itu nasib sama
menimpa pertahanan kiri Fazly yang sekadar menjadi penonton menyaksikan Johor
DT tewas kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 selepas aksi 120
minit berakhir dengan seri 2-2.
Dia yang terpaksa diketepikan
selepas digantung perlawanan bakal berdepan cabaran hebat untuk mengekang
kemaraan pemain sayap dan bek kanan Helang Merah Baddrol Bakhtiar dan Rizal
Ghazali.
“Memang kecewa sebelum ini saya
hanya datang ke final sebagai penonton. Harapan saya mahu bermain habis-habisan
bagi membantu Johor DT memenangi perlawanan penting ini menentang Kedah. Saya
jangkakan perlawanan sukar apatah lagi saya bakal mengawai dua pemain bahaya
Rizal dan Baddrol,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 1:22 PM
Piala Malaysia hadiah buat
penyokong: Aidil
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
PENJARING gol pertama Johor
Darul Ta’zim (Johor DT), Aidil Zafuan Abd Radzak menghadiahkan kejayaan pasukan
menjuarai Piala Malaysia musim ini kepada penyokong skuad selatan tanah air itu
selepas merakam kemenangan 2-0 ke atas Kedah dalam final di Stadium Shah Alam,
malam tadi.
Tonggak pertahanan tengah itu
berkata, ia hadiah istimewa buat penyokong setia Harimau Selatan yang sentiasa
berada di belakang kelab sepanjang musim ini.
“Sudah tentu ia sangat istimewa
apabila dapat menjaringkan gol penting terutama dalam perlawanan akhir dan saya
gembira dapat membantu Johor meraih kemenangan sekali gus juara Piala
Malaysia,” katanya.
Pada pertemuan itu, Johor DT
mengejutkan Kedah seawal minit kedua hasil tandukan Aidil sebelum pemain import
dari Argentina, Gonzalo Cabrera melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-63 yang
menyaksikan keputusan itu kekal hingga wisel penamat.
PEMAIN Johor DT meraikan
kemenangan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI
SAALI
Ujar pemain berusia 30 tahun
itu lagi, semua pemain wajar dijulang sebagai wira selepas mereka
bertungkus-lumus mencipta kemenangan bermakna, pada aksi kemuncak yang penuh
dramatik itu.
“Gol pertama itu memang penting
untuk menaikkan semangat kami. Saya hanya menjalankan tugas dan memang
tanggungjawab saya sebagai pemain cuba menjaringkan gol walaupun beraksi di
bahagian pertahanan.
“Apapun, saya ucap terima kasih
kepada semua termasuk pengurusan pasukan, jurulatih dan penyokong. Musim ini
amat mencabar buat kami, namun kami berjaya akhiri saingan dengan satu lagi
catatan sejarah buat kelab,” katanya.
Kejayaan merampas Piala
Malaysia itu memastikan trofi berprestij itu kembali menuju ke selatan tanahair
selepas Johor muncul juara pada 1985 dan 1991.
Transformasi yang berlaku ke
atas kelab itu pada 2013 dengan menggunakan nama baru iaitu, Johor DT
meletakkan mereka kini sebagai raja bola sepak tanahair apabila mendominasi
saingan tempatan dengan merangkul Liga Super sebanyak empat kali (2014, 2015,
2016, 2017) dan Piala Sumbangsih dua kali (2015, 2016) selain menjulang Piala
FA dan Piala AFC sekali, masing-masing pada 2016 serta 2015.
TUNKU Mahkota Johor, Tunku
Ismail Sultan Ibrahim meraikan kemenangan Johor DT bersama penyokong di Stadium
Shah Alam. FOTO/ASYRAF HAMZAH
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Ahad, 5 November 2017 @ 12:01 PM
No comments:
Post a Comment