Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
“DIA sekarang macam
‘Superstar’. Bagi sajalah apa dia nak cakap, biarkan saja,” kata legenda bola
sepak negara, Datuk Santokh Singh mengenai perubahan sikap bekas pemain produk
akademi bola sepak Selangor, Safiq Rahim yang dikenalinya seorang pemain yang baik
dan sederhana.
Namun, tindakan keterlaluan
ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang mencarut untuk melepaskan geram
kepada pengkritiknya ketika meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan menjulang
Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu lalu, amat mengejutkan Santokh yang
tidak menyangka Safiq akan mengeluarkan kata-kata kesat itu.
“Saya nak ulas lebih pun tak
boleh, itu pilihan dia. Dulu masa dia remaja, saya pernah tengok dan tahu pasal
dia. Tak samalah macam dulu, sekarang lain dah ‘star’ sebab itu tak kisah nak
buat apa pun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menerusi rakaman video
berdurasi satu minit yang sempat dirakam pihak media, Safiq mengeluarkan
kata-kata “P..... kepada semua pengkritik, wa (saya) champion (juara)
sekarang,” kata Safiq dalam rakaman itu.
Ekoran tindakannya itu, dia
menerima kecaman hebat daripada penyokong bola sepak tanah air yang mahu
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengendali liga tempatan iaitu
Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menghukumnya seperti
mana yang pernah diterima bekas pemain Pahang, Ahmad Syamim Yahya.
Dalam kes Syamim, dia didenda
RM500 dan gantung satu perlawanan kerana menunjuk isyarat lucah kepada rakan
sepasukannya ketika aksi antara Pahang dan Melaka United dalam aksi Liga Super
pada 25 Februari lalu.
Jelas Santokh, selaku pemain
profesional Safiq sepatutnya mengambil semua kritikan penyokong dengan positif
dan jadikan ianya sebagai suatu cabaran kepadanya.
“Saya juga pernah dihentam
penyokong selepas kami kalah dalam perlawanan. Tetapi tidaklah sampai nak maki
semula penyokong sebab tanpa mereka saya tidak akan ke mana-mana.
“Dalam bola sepak, kita
perlukan kritikan ini dan harus terima kritikan itu. Sebenarnya kritikan itu
bagus untuk bola sepak dan juga baik untuk individu.
“Bagi saya, jika ada peminat
kritik saya semangat saya akan lebih kuat untuk tunjukkan sesuatu kepada
mereka. Tapi pemain sekarang saya tak tahulah, bila kena kritik mereka macam
tak boleh nak terima. Mungkin sebab ada orang besar kat belah dia,” katanya.
SUMBER-
Artikel ini disiarkan pada :
Jumaat, 10 November 2017 @ 9:32 PM
No comments:
Post a Comment