PESERTA Klinik Bola Sepak Puma bergambar dengan bintang bola sepak tempatan di Subang Jaya, Selangor semalam.
26 November 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 25 Nov. – Khairul Fahmi Che Mat percaya Kelantan mampu menjadi antara pencabar kuat dalam persaingan Liga Super musim depan dengan gabungan muka baharu dan lama.
Penjaga gol berusia 28 tahun itu, yang masih mempunyai kontrak dengan The Red Warriors hingga tamat musim depan, juga menggesa semua pemain Kelantan mempertingkatkan tahap permainan dan mengambil iktibar daripada kesusahan yang mereka tempuhi musim lalu untuk kekal dalam Liga Super sebagai pembakar semangat mereka bagi menghadapi persaingan baharu.
“Untuk pasukan Kelantan yang berwajah baharu musim depan, dengan gabungan beberapa pemain senior dan muda, saya percaya kami mampu membentuk sebuah pasukan yang mampu memberi saingan dan lebih baik berbanding musim lalu.
“Pasti presiden baharu meletakkan sesuatu sasaran untuk dicapai oleh pasukan dan saya juga berharap kami mampu mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan Kelantan. Tahun lepas kami berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran untuk kekal dalam Liga Super, dan saya percaya semua pemain telah mengambil perkara itu sebagai satu pengajaran,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui sewaktu menjadi bintang undangan Klinik Bola Sepak Puma 2017 di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya, hari ini.
Turut bersama pemain yang dikenali sebagai Apex itu adalah Danish Haziq, Azidan Sarudin, Shahrul Saad, Syahmi Safari dan Mahali Jasuli.
Mengulas mengenai klinik bola sepak anjuran Puma itu, dia mengakui program itu bagus dalam usaha semua pihak untuk mencungkil bakat baharu.
“Program seperti ini bagus dalam mencungkil bakat pemain muda. Ini juga salah satu peluang untuk kami berkongsi pengalaman dengan adik-adik (peserta klinik Puma) sepanjang bergelar pemain profesional,” ujarnya.
Sementara itu, pemain tengah Pulau Pinang, Azidan Sarudin mengakui masa depannya bersama pasukan itu masih belum pasti untuk musim depan.
“Kontrak saya akan tamat pada hujung bulan Disember nanti, masih belum tahu disambung atau tidak kerana masih dalam perbincangan. Untuk masa sekarang saya masih belum terfikir untuk mencari kerjaya lain selain pemain bola sepak,” katanya
sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/khairul-fahmi-tetap-yakin-keupayaan-trw-1.560621#ixzz4zffTRSMn
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment