ULISSES MORAIS (dua dari kanan),
Shafiq Rahim (kanan) bersama Mohd. Nidzam Adzha Yusoff (dua dari kiri) dan
ketua Pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari memegang Piala Malaysia yang menjadi
rebutan antara skuad Lang Merah dengan JDT selepas sidang akhbar perlawanan
akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, semalam. utusan/Nasirruddin
Yazid
Zainu’L Azhar Ash’Ari
04 November 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 3 Nov. - Esok,
hari ditunggu-tunggu oleh majoriti rakyat negara ini, melupakan seketika
pelbagai isu atau kemelut yang berlaku termasuk politik tanah air untuk memberi
tumpuan kepada dua gergasi bola sepak tanah air, melibatkan pertembungan
pasukan utara dan selatan di Shah Alam.
Ibarat perlawanan epik antara
Lang Merah dengan Harimau Selatan, realitinya perlawanan akhir Piala Malaysia
2017 di Stadium Shah Alam itu mempunyai cerita tersendiri dibandingkan musim
terdahulu dengan Kedah gah ke pentas final tiga tahun berturut-turut, berstatus
juara bertahan bakal menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), kelab paling
berpengaruh di negara ini.
Pertembungan ‘buku bertemu
ruas’ sukar untuk diramalkan, hanya aksi di tengah ‘gelanggang’ mampu
memberikan jawapan sebenarnya tentang dua pasukan terbaik di negara ini dengan
masing-masing mempunyai strategi dan taktikal tersendiri.
Sejarah tidak boleh dipadam
bahawa Kedah bergaya ke pentas akhir buat tiga musim berturut-turut termasuk
tahun ini, dengan dikendalikan jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe (2015 dan
2016) sebelum diambil alih oleh penolongnya, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff untuk
final kali ini.
Sudah pasti, Mohd. Nidzam mahu
membuktikan bahawa anak tempatan mampu membawa Kedah menjulang Piala Malaysia
walaupun menghadapi ‘anak-anak buah’ Ulisses Morais yang pernah menjulang
kejuaraan Liga Super empat musim berturut-turut sejak 2014 selain menjulang
Piala FA pada 2016 dan paling manis mencipta sejarah menjuarai Piala AFC
(2015).
Bagaimanapun, JDT tetap
menyedari bahawa Kedah merupakan pasukan yang cukup disegani. Sejarah bola
sepak negara. telah membuktikan bahawa Lang Merah yang sebelum ini cukup
popular dengan gelaran seperti Kenari atau Hijau Kuning bukan baharu mencipta
kejayaan, malah boleh dikatakan kesemua trofi telah menjadi koleksinya.
Daripada juara Divisyen 2, Liga
Perdana, Piala Sultan Ahmad Shah atau perlawanan Sumbangsih, Liga Super dan
Piala FA, paling bergaya Kedah yang menjuarai Piala Malaysia sebanyak lima
kali (1990, 1993, 2007, 2008, 2016) pernah mencipta double treble pada 2007 dan
2008 (memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia).
Namun, rentetan sejarah bukan
ukuran sebenarnya buat kedua-dua pasukan, cukup sekadar untuk membina reputasi
tetapi kemantapan dan kemahiran pemain menjadi aset sama ada bagi Kedah atau JDT
untuk menggapai impian bergelar juara malam esok.
Di pihak Kedah, kekuatan
tentulah dijana oleh arkitek pasukan, pemain import Liridon Krasnigi yang
dibantu pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar dan Sandro da Silva Mendonca di
barisan tengah serta penyerang Ken Ilso untuk mengancam kubu JDT selain
diperkuatkan tonggak tempatan yang mampu menyerap setiap asakan lawan seperti
Syazwan Zainal.
Dengan mempertaruhkan barisan
terkuatnya, Kedah tidak perlu risau untuk menghadapi JDT, cuma keghairahan atau
kesilapan bakal membawa padah kepada skuad Lang Merah itu kerana JDT merupakan
pasukan yang cukup bijak untuk mengambil kesempatan di sebalik kelekaan lawan.
Sebagaimana kata Mohd. Nidzam,
keutamaannya adalah Piala Malaysia dengan menyediakan barisan pemain terbaik
untuk muncul juara.
“JDT pasukan serba lengkap
tetapi pengalaman beraksi di pentas final tiga tahun berturut-turut di Stadium
Shah Alam akan memberi sedikit kelebihan,” katanya.
JDT pula, di barisan hadapannya
menyandarkan harapan kepada pemain paling ‘mahal’, Mohammed Ghaddar yang
berupaya untuk menyusup masuk ke dalam kubu Kedah jika barisan pertahanan tidak
mengawalnya dengan rapi atau alpa, dengan tonggak kelahiran Sepanyol, Natxo
Insa serta dua lagi pemain import, Gabriel Guerra dan Gonzalo Cabrera yang
cukup licik untuk memperdayakan benteng terakhir Lang Merah.
Inilah trio yang menjadi
‘ancaman’ buat Kedah selain bantuan daripada pemain tempatan iaitu ketua
pasukan JDT dan juga skuad kebangsaan, Shafiq Rahim yang berupaya membuat
hantaran kepada barisan penyerang di samping mampu menghasilkan gol menerusi
sepakan percuma.
Menurut Insa, sudah tentu
pemain akan bermati-matian untuk merampas Piala Malaysia daripada Kedah bagi
melengkapkan koleksi kejuaraan JDT.
“Piala Malaysia belum lagi kami
dapat, sudah tentu peluang yang ada tidak akan dilepaskan begitu sahaja,”
katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pertembungan-dua-8216-gergasi-8217-1.546946#ixzz4xQ2T1kA6
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment