SAFIQ RAHIM (kanan) meraikan
gol pembukaan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak ketika JDT menentang Kedah dalam
perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi. -
UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
06 November 2017 9:55 AM
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Menutup
musim 2017 dengan Piala Malaysia membuktikan Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah
pasukan terbaik di negara ini, apatah lagi mereka juga sebelum ini turut
mempertahankan gelaran Liga Super untuk tahun keempat berturut-turut, kata
kapten Harimau Selatan, Safiq Rahim.
Kemenangan ini juga sangat
manis buat ketua pasukan Harimau Malaya itu kerana akhirnya meraih trofi
berprestij tersebut buat kali pertama selepas gagal dalam dua penampilan akhir
sebelum ini.
Kejayaan itu juga meletakkan
Safiq, 30, sebagai antara pemain bola sepak tempatan paling berjaya apabila
turut memenangi Liga Super, Piala FA, Piala Sumbangsih, Piala AFF 2010 dan
Piala AFC 2015 sepanjang bergelar profesional.
“Kami adalah yang terbaik. Kami
yakin dengan kemampuan sendiri kerana kami tahu di mana kekuatan kami apabila
beraksi mengikut perancangan. Saya fikir kami adalah yang terbaik (di Malaysia)
ketika ini.
“Meskipun kami memperoleh gol
awal, kami tetap fokus sehingga wisel penamat ditiup kerana apa-apa boleh
berlaku sepanjang permainan.
“Malam ini (semalam), keputusan
dan kejayaan berpihak kepada JDT. Ini merupakan Piala Malaysia saya yang
pertama secara individu dan saya fikir trofi ini mungkin menjadi impian kepada
semua pemain kerana saya memang mahu memenanginya.
“Saya berharap kejayaan kami
tidak akan terhenti setakat ini sebab kami mahu mencipta sejarah bersama JDT,”
katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Shah Alam semalam.
Sebelum ini, Safiq pernah dua
kali beraksi di pentas akhir Piala Malaysia namun percubaan pada 2008 ketika
bersama Selangor dan 2014 (JDT) gagal. JDT muncul juara selepas mengalahkan
Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam. - UTUSAN ONLINE
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-pasukan-terbaik-malaysia-safiq-1.547561#ixzz4xdtBTjbZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment