Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia
(FAM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) digesa
mengambil tindakan ke atas Safiq Rahim susulan mengeluarkan kata-kata kesat
kepada penyokong yang jelas melanggari etika seorang pemain bola sepak
profesional.
Bekas pengurus Selangor,
Zakaria Rahim berkata, perbuatan kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mencarut
di hadapan pihak media yang kemudiannya menjadi bahan tatapan seluruh peminat
tidak sepatutnya terlepas daripada tindakan disiplin dengan FAM wajar menghukum
pemain tengah berkenaan.
ZAKARIA RAHIM
Zakaria yang pernah
mengendalikan beberapa kelab amatur di Manchester, England selama enam tahun
menegaskan, setiap bidang kerjaya memiliki etika yang mesti dipatuhi
termasuklah pemain bola sepak yang terikat dengan etika Fairplay atau Respeck.
Katanya, walaupun ketua pasukan
kebangsaan itu mungkin sekadar melepaskan tekanan selepas membantu JDT
menjuarai Piala Malaysia, dia ketika itu masih lagi memakai jersi kelabnya yang
membawa imej Liga Malaysia dan sukan bola sepak secara amnya.
"FAM dan FMLLP tak boleh
berdiam diri. Ini contoh tak baik yang jauh sekali menyimpang dengan etika
Fairplay atau Respeck yang ditekankan FIFA (Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) selama ini," katanya
ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya, isu berkenaan pernah
berlaku kepada bekas penyerang Manchester United, Wayne Rooney pada 2011 ketika
kelabnya berdepan West Ham United di mana Rooney mengeluarkan kata-kata kesat
kepada penyokong dan pengkritiknya yang sempat dirakam pihak media.
Kelakuan Rooney itu akhirnya
mendapat perhatian serius Persatuan Bola Sepak Englang (FA England) yang
kemudian menggantungnya dua perlawanan kerana didapati bersalah menghina
penyokong.
"Kes Rooney antara contoh
yang harus FAM dan FMLLP ambil kira. Dia yang kini bermain untuk Everton
dihukum dan kemudiannya tampil memohon maaf atas kesilapannya serta mengakui
dirinya melanggar etika pemain profesional.
"Jadi, takkan badan
pentadbir bola sepak kita nak berdiam diri atau mahu memenangkan Safiq yang
terang-terang dalam rakaman video mencarut dan menghina penyokong. Sebagai
pemain profesional, dia kena terima hakikat bahawa kritikan adalah sebahagian
daripada hidupnya.
"Tetapi dia tidak boleh
bertindak balas kerana dia ada etika selain menjadi ikon kepada masyarakat dan
kanak-kanak. Kalau tak tahan dicemuh, berhenti jadi pemain bola dan pergi jadi
askar, mekanik atau polis," katanya.
Menerusi rakaman video
berdurasi seminit yang viral ketika ini, Safiq dilihat seperti melepaskan geram
kepada pengkritik yang dianggap membenci JDT apabila secara tiba-tiba menjerit
dengan mengeluarkan kata-kata kesat.
Dalam aksi final Piala Malaysia
di Stadium Shah Alam Sabtu lalu itu, Harimau Selatan berjaya menewaskan Kedah
2-0 menerusi tandukan Mohd Aidil Zafuan Radzak dan Gonzalo Cabrera.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Isnin, 6 November 2017 @ 7:47 PM
Hodak usik emosi pemain
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KEMENANGAN bergaya anak buah
Bojan Hodak apabila membenam Indonesia 4-1 pada aksi kelayakan Kejuaraan
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Paju, Korea Selatan, hari ini
sememangnya mengejutkan ramai.
Bagaimanapun, Hodak mendedahkan
rahsia di sebalik kemenangan bergaya itu yang mencerahkan peluang mereka
mengetuk pintu pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19 di Indonesia, tahun depan
apabila mengumpul sembilan mata maksimum selepas menewaskan Timor Leste 3-1 dan
Brunei 1-0, sebelum ini.
“Saya akui sebenarnya bukan mudah
menewaskan Indonesia, apatah lagi selepas lawan itu membelasah Brunie dan Timor
Leste dengan kedua-duanya berakhir dengan keputusan 5-0 berbanding kami yang
sekadar menang tipis saja terutamanya ke atas Brunei yang jelas menyentap
semangat pemain.
“Namun, saya gunakan permainan
psikologi bagi menaikkan semangat pemain. Dalam pasukan ini, kami mempunyai
ramai pemain dari Pulau Pinang dan Kedah yang ketika ini keluarga mereka
ditimpa masalah banjir.
“Jadi, saya ingatkan mereka
mengenai kesusahan keluarga dan mangsa banjir di Pulau Pinang dan Kedah. Tak
sangka pemain saya memberi tindak balas cukup baik di mana mereka beraksi demi
keluarga tersayang,” kata bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan
itu.
Skuad negara akan melengkapkan
saingan Kumpulan F dengan menentang Korea Selatan Rabu ini dan sekiranya
menewaskan pasukan tuan rumah itu, mereka akan muncul juara kumpulan sekali gus
layak automatik beraksi bersama 15 lagi pasukan terbaik termasuk Indonesia yang
sudah layak lebih awal atas tiket selaku tuan rumah.
Bagaimanapun, sekiranya tewas
atau seri, skuad negara masih berpeluang mara dengan mereka kini berada di
posisi terbaik untuk muncul sebagai lima pasukan naib juara terbaik di pusingan
kelayakan ini hasil pungutan mata yang tinggi.
Sekiranya anak didik Hodak
layak, mereka akan mengikut jejak dua pasukan muda negara iaitu skuad B-23 dan
B-16 yang turut mengesahkan kemaraan di pusingan akhir AFC tahun depan di mana
pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee beraksi di China Januari ini, sementara
skuad Lim Teong Kim menjadi tuan rumah, Ogos nanti.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Isnin, 6 November 2017 @ 4:20 PM
No comments:
Post a Comment