Ad

Friday, 17 November 2017

Pemain wajib ada hak sendiri!



Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar (gambar) menganggap isu pasukan berebut pemain tidak akan berakhir jika pemain tidak mempunyai hak untuk menentukan masa depan sendiri.

Tegasnya, undang-undang sedia ada yang digunakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas pemain Harimau Muda sudah tidak relevan lagi.

“Kami di PFAM sentiasa memperjuangkan supaya pemain sepatutnya diberikan hak untuk menentukan masa depan dan undang-undang (menyekat pemain) ini sebenarnya sudah tak relevan lagi,” katanya kepada Arena Metro.

Hairuddin berkata demikian sebagai mengulas kontroversi pemain baru Sarawak Syahrul Azwari Ibrahim yang enggan menyertai pasukan negeri kelahiran Kelantan selepas tamat kontrak dengan Harimau Muda A tahun ini.

Keputusan Syahrul, 22, menandatangani kontrak dua tahun bersama skuad Bujang Senang itu seakan mengundang padah apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dilaporkan sudah membuat aduan kepada FAM.

Malah Pengerusi Jawatankuasa Status FAM Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini menasihatkan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) membatalkan kontrak itu jika tidak mahu dikenakan tindakan termasuk Syahrul berdasarkan Artikel 22 status perpindahan pemain Malaysia.

Ini bukan kali pertama isu perebutan pemain Harimau Muda berlaku kerana sebelum ini bola sepak tanah air dikejutkan dengan penghijrahan pemain Kedah Gary Steven Robbat ke Johor Darul Ta’zim dan Ferris Danial Mat Nasir (Kelantan) ke FELDA United.

Menurut Hairuddin, pihaknya sedia membantu Syahrul seperti ketika mereka menyelesaikan kes Gary tahun lalu.

“Kami masih belum menerima maklumat tepat mengenai kes Syahrul kerana dia belum menghubungi PFAM lagi. Kami akan bantu jika dia datang membuat aduan berpandukan keada prosedur yang betul.

“Jika berdasarkan kes Gary sebelum ini, pemain kena kembali ke pasukan terakhir dia terbabit dalam aktiviti bola sepak. Tapi pasukan terakhir Syahrul sebelum menyertai Harimau Muda adalah SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil) dan bukan Kelantan. Jadi FAM kena tentukan dulu status pemain ini,” jelasnya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:07 AM

No comments:

Post a Comment