Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
PERSATUAN Pemain Bola Sepak
Profesional Malaysia (PFAM) menganggap tindakan penyerang muda Kedah, Muhammad
Syafiq Ahmad berunding secara sendirian ketika kontraknya bakal berakhir 30
November ini, normal dan tidak menyalahi peraturan liga tempatan.
Timbalan Presiden PFAM, Rezal
Zambery Yahya berkata, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sepatutnya peka
mengenai status kontrak pemainnya dan perlu bergerak pantas dengan menawarkan
perjanjian baru sekiranya berminat mengekalkan pemain itu.
“Dalam isu Syafiq rasanya tidak
ada apa yang salah. Walaupun dia pergi berjumpa pemilik Johor Darul Ta’zim
(Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dengan kontraknya masih ada bersama KFA tak
salah, sebab kontrak dia akan tamat bulan depan.”
“Sepatutnya majikan harus
tawarkan kontrak baru tiga bulan sebelum tamat dan sekiranya gagal, pemain
berhak bergerak bebas untuk melakukan rundingan dengan mana-mana pasukan.”
“Tak kiralah kalau KFA kata
masih dalam proses perbincangan atau apapun, kalau sudah berbaki tiga bulan
masih tiada jawapan, pemain ada hak dan tak boleh disekat,” katanya ketika
dihubungi, hari ini.
Kelmarin, ayam tambatan skuad
bawah 22 tahun negara (B-22) itu mengejutkan penyokong skuad Helang Merah
apabila gambarnya berjumpa Tunku Ismail dipaparkan di laman rasmi Facebook JOHOR
Southern Tigers (JST).
Menerusi keterangan gambar pada
posting berkenaan - ‘kualiti menarik kualiti’ turut menggambarkan betapa Johor
DT memandang tinggi kemampuan pemain kelahiran Pulau Pinang itu sekali gus
memberi petanda mereka begitu berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Bagaimanapun, semalam Syafiq
tampil mendedahkan bahawa dia terpaksa bergerak secara solo mencari pasukan
baru selepas KFA dilihat gagal menawarkan sebarang kontrak baharu meskipun
beberapa kali perbincangan sudah dijalankan.
“Kita kena faham, periuk nasi
pemain adalah bermain bola sepak. Jika majikannya lambat dan tiba-tiba enggan
memperbaharui kontrak, sudah tentunya pemain itu tidak dapat mencari pasukan
baharu di saat akhir.”
“Mana-mana pasukan harus
mempunyai pelan jangka panjang dan tahu pemain yang mereka mahukan untuk musim
baru. Jangan buat kerja ‘last minit’ kerana ia jelas tidak profesional,”
katanya.
Jelasnya lagi, dia turut
menasihatkan Syafiq agar tidak terburu-buru menandatangani kontrak dengan
pasukan baru seandainya masih berminat untuk kekal bersama Kedah.
“Saya harap Syafiq memikirkan
semasak-masaknya sebelum menurunkan tandatangan. Kita tak mahu timbul pula isu
dua kontrak yang kemudiannya menyusahkan diri sendiri dan pasukan,” ujarnya.
sumberArtikel ini disiarkan
pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 4:01 PM
No comments:
Post a Comment