Ad

Friday 3 November 2017

Keharmonian pemain tunjang kekuatan skuad Kedah

MOTIVASI para pemain Kedah berada pada tahap terbaik untuk memenangi Piala Malaysia menentang JDT di Stadium Shah Alam malam ini.

KETUA pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari percaya keharmonian dalam kalangan pemain merupakan tunjang kepada kekuatan pasukannya tetapi mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) layak dilabel sebagai pasukan pilihan pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.

Menurut tonggak pertahanan skuad Helang Merah itu, kejayaan melangkah ke pentas akhir kejohanan bola sepak tertua di Malaysia itu merupakan satu kebanggaan tetapi perbezaan yang dihadapi kali ini adalah berdepan pasukan juara Liga Super iaitu JDT.

“Sepanjang tiga tahun lepas kami telah berdepan dengan Selangor sebanyak dua kali di pentas final, manakala Pahang dalam aksi Piala FA. Namun, final kali ini sedikit berbeza kerana kami akan berdepan dengan JDT yang saya anggap cukup sempurna dalam kancah Liga Malaysia.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu menghormati pasukan lawan kerana apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan akhir. Apa yang penting, semua pemain tidak kira yang dipilih dalam kesebelasan utama atau berada di bangku simpanan dapat berikan yang terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairul Helmi yang juga pemain skuad Harimau Malaya percaya rekod mereka yang tidak kalah kepada JDT termasuk merampas trofi Piala Sumbangsih awal musim ini mungkin boleh dijadikan sebagai perangsang buat barisan pemain.

“Saya akui ini adalah medan terbaik untuk kami membuktikan keupayaan sebenar. Secara jujur, Kedah merupakan pasukan yang cukup harmoni kerana pemain senior dan junior diberi layanan yang sama adil khususnya ketika sesi latihan.

“Justeru, motivasi dalam kalangan pemain juga berada dalam tahap terbaik dan tidak sabar untuk beraksi esok (malam ini) memandangkan rekod kami apabila bertemu dengan mereka musim ini nampak positif termasuk seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Super minggu lalu.

“Harapan saya dapat membantu pasukan mengekalkan trofi keramat ini di bumi Kedah kerana meskipun atas kertas, mereka (JDT) dilihat pasukan yang lebih baik. Saya tetap melihat perlawanan akan menjadi seimbang,” katanya.

Sebagai rekod, Khairul Helmi yang bersama skuad Kedah sejak 10 tahun lalu telah menjulang trofi Piala Malaysia sebanyak tiga kali sebelum ini iaitu 2007, 2008 dan 2016.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4xQTHBsJx
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment