Ad

Thursday, 16 November 2017

Faham isi kontrak duhulu: Hairuddin

Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my
 
“PEMAIN wajib hormati kontrak,” itu peringatan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar kepada pemain yang sudah menandatangani kontrak bersama pasukan di saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Hairuddin yang juga penolong jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) menegaskan, perkara ini penting bagi memastikan tiada pemain yang sengaja melanggar perjanjian kerana ia akan menyusahkan mereka sendiri dan majikan.

“Mereka perlu faham isi kontrak sebelum menandatangani perjanjian, ini kerana dalam perjanjian itu sudah dinyatakan bila pemain boleh berbincang dengan pasukan baharu.

“Dalam perjanjian itu juga sudah tertera dan dinyatakan bila seseorang pemain itu boleh menandatangani kontrak yang baharu dengan pasukan lain.

“Oleh itu, sebelum menandatangani kontrak, mereka harus faham serta membaca dengan teliti dan bukannya sekadar turunkan tandatangan, tetapi tidak tahu isi kandungannya,” katanya mengulas mengenai musim perpindahan pemain menjelang saingan Liga M musim depan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, selain pemain, pasukan atau kelab juga harus tahu dan akur dengan peraturan berkaitan tempoh masa yang dibolehkan membuat tawaran kepada pemain.

“Pasukan yang berminat untuk mendapatkan pemain yang masih terikat dengan kontrak perlu terlebih dulu berhubung dengan majikan pemain terbabit, supaya tidak timbul istilah pemain ‘dicuri’,” katanya.

Hairuddin juga mengingatkan mereka supaya tidak hanya mengejar tawaran lumayan semata-mata sehingga sanggup melanggar kontrak, seperti yang pernah berlaku apabila ada pemain menandatangani perjanjian dengan dua pasukan secara serentak.

Jurulatih kelahiran Setiu, Terengganu ini berharap isu sama tidak berulang lagi pada musim ini kerana ia bukan saja menyusahkan dan merugikan banyak pihak, tetapi juga mencemar imej Liga M itu sendiri.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 3:44 PM

No comments:

Post a Comment