Kuala Terengganu: Penyokong
pasukan Terengganu diminta lebih matang dan berhemah ketika memberi kritikan ke
atas prestasi pasukan kerana boleh menyebabkan sebahagian pemain berasa kurang
selesa seterusnya enggan mendekati peminat kerana bimbang dicemuh dan dikutuk
selain menyebabkan semangat dan tumpuan mereka terjejas.
Pemain Terengganu Hairuddin
Omar (gambar) berkata, pemain dan pasukan Penyu memang memerlukan sokongan
peminat yang menjadi kekuatan utama pasukan dalam membawa cabaran dalam saingan
Liga Super atau mana-mana perlawanan.
“Cuma ada kalanya apabila
pasukan mengalami kekalahan, pemain akan berasa murung dan hilang semangat
kerana ada segelintir peminat yang mencemuh dan melontarkan kritikan keras
sehingga menyebabkan tumpuan pemain terganggu.
“Peminat perlu faham, adat
permainan, ada masa menang dan kalah. Malah, ia sudah menjadi perkara biasa,
saya juga yakin pemain bersedia menerima kritikan asalkan kritikan itu membina
dan merangsang semangat tapi bukan dengan cara menghentam pasukan,” katanya.
Hairuddin berkata, penyokong
perlu memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan sama ada ketika
mengalami kekalahan atau kemenangan dan peminat perlu dididik dengan budaya
penyokong bola sepak luar negara yang memberi sokongan hingga ke minit terakhir
perlawanan.
“Saya melihat budaya itu masih
rendah dalam kalangan penyokong tempatan. Penyokong di luar negara menangis
bersama pasukan mereka, semangat diberi lebih membina berbanding hentaman yang
melemahkan semangat pemain.
“Saya sendiri sudah lali dengan
pelbagai kejian, cacian dan pujian penyokong. Malah itu semua sudah tidak
memberi kesan kepada saya. Tapi budaya seperti itu perlu ditinggalkan,
sebaiknya memberi perangsang kepada pemain serta pasukan dengan cara yang lebih
berhemah,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:03 AM
No comments:
Post a Comment