Ad

Monday, 20 November 2017

Kuala Lumpur nafi intai Indra

Devinder Singh
devinder@nstp.com.my
 
KEPUTUSAN Indra Putra Mahayuddin untuk tidak memperbaharui kontrak bersama Kelantan mencetus minat beberapa pasukan Liga Super yang mahu mendapatkan khidmat penyerang berpengalaman itu.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur yang kembali bersaing di Liga Super musim depan bukan salah sebuah daripada pasukan yang cuba menagih sentuhan Indra Putra walaupun sebelum ini dikaitkan dengan pemain itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa menafikan dakwaan berkenaan, sebaliknya menegaskan pasukan sedang berusaha memperkuatkan benteng berbanding menambah seorang lagi penyerang.

“Saya sedar ada laporan yang mengatakan kami berminat mendapatkan Indra tetapi saya boleh katakan yang ia tidak benar,” kata Nokman. “Jurulatih kami (Fabio Maciel) tidak menyuarakan hasrat untuk menambah pemain di barisan hadapan.

“Sebaliknya kami mahu menambah pemain di bahagian pertahanan, selain mencari penjaga gol ketiga.”
ADVERTISING

Indra, 36, semalam berkata dia tidak bercadang menyambung kontraknya bersama Kelantan selepas timbul laporan mengatakan pasukan Liga Super itu membuat tawaran kepadanya, dan kemudian dinafikan penyerang itu.

“Saya sepatutnya berunding dengan Kelantan untuk kekal bersama pasukan selepas saya kembali daripada percutian Isnin ini, tetapi memandangkan mereka memutuskan untuk tidak mengekalkan saya, saya menerimanya secara profesional,” kata Indra menerusi laman Instagramnya.

“Dakwaan yang mengatakan saya ditawarkan kontrak oleh Kelantan tetapi memilih untuk tidak menerimanya adalah tidak benar. Saya juga mempunyai hak untuk berunding dengan pasukan lain memandangkan kontrak saya bersama Kelantan tamat bulan ini.”

Kuala Lumpur ketika ini sedang berunding dengan bek tengah yang juga bekas pemain kelab itu, Shahrom Kalam, yang kontraknya bersama Perak juga tamat bulan ini, serta pemain tengah kelahiran Australia Brendan Gan.

Juara Liga Perdana itu sebelum ini terlepas peluang mendapatkan khidmat bek kiri Kedah Fitri Omar yang sudah bersetuju menyertai Terengganu – naib juara Liga Perdana yang turut menyertai Kuala Lumpur ke kancah Liga Super musim depan.

Kuala Lumpur terdesak mendapatkan pemain pertahanan selepas rundingan untuk melanjutkan khidmat bek tengah Uzbekistan Boburjon Akbarov belum menemui titik persamaan.

“Kami sedang mencari pemain pertahanan tetapi tidak terlalu bimbang dengan kegagalan mendapatkan Fitri kerana kami mempunyai pilihan di posisi berkenaan,” kata Nokman merujuk kepada Azmeer Yusof dan Farid Ramli yang mampu mengisi posisi bek kiri.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 7:37 PM

No comments:

Post a Comment