Isnin, 21 Disember 2015 |
7:03am
Oleh Mohd Rafi Mamat
bhsukan@bh.com.my
PEMAIN Pahang, Azamuddin Mohd
Akil. - Foto Mohd Rafi Mamat.
KUANTAN: Penyerang kebangsaan,
Azamuddin Mohd Akil mengambil keputusan nekad meninggalkan skuad Pahang untuk
bersama Johor Darul Ta`zim (J DT) musim depan kerana mahu mencari cabaran
baharu.
Azamuddin berkata, selepas 11
musim bersama Tok Gajah, sudah tiba masanya dia mengharungi cabaran baharu yang
dapat menguji kebolehan dan kemampuannya sebagai pemain bola sepak profesional.
"Sebenarnya, terlalu sukar
untuk saya mengambil keputusan meninggalkan skuad Tok Gajah, namun demi
pembangunan kerjaya dan mengambil kira pelbagai perkara... saya terpaksa
melakukannya," katanya semalam.
Azamuddin atau lebih terkenal
dengan panggilan Alex berkata, dengan barisan bintang dalam pasukan JDT, dia
terpaksa melipatgandakan usaha bagi menempatkan diri dalam kesebelasan utama
pasukan pada musim depan.
Selain bersaing dengan pemain
import, katanya dia juga perlu membuktikan kebolehan yang lebih daripada pemain
JDT jika ingin muncul sebagai penyerang disegani seperti ketika beraksi dengan
Tok Gajah.
"Cabaran itu sememangnya
saya cari sehingga mendorong saya mengambil keputusan meninggalkan Tok Gajah
yang mengecap banyak kejayaan pada musim lalu apabila menjulang Piala
Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia," katanya.
Azamuddin yang pernah bersama
pasukan Shahzan Muda pada musim 2005 berkata, dia yakin corak permainannya akan
lebih baik musim depan terutama dalam usaha membuktikan kepercayaan yang
diberikan pengurusan JDT.
Katanya, sokongan dan
kepercayaan yang diberikan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terutama
presidennya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah juga tidak akan dilupakannya
sampai bila-bila.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin,
21 Disember 2015 | 7:03am
No comments:
Post a Comment