Ad

Wednesday 8 November 2017

Soalan 6 :Nilaikan sumbangan Macapagal dalam pembangunan Ekonomi Filipina pada pertengahan abad ke -20

Pengenalan  :
           
            Diosdado Macapagal Pangan dilahirkan pada 28 September 1910 di Lubao , Pampanga . Beliau mempunyai kelulusan dari Universiti Filipina dan Universiti Santo Thomas . Setelah tamat pengajian , Macapagal menjadi peguam  , ahli kongres , menjadi ahli Dewan Rakyat  dan pada tahun 1948 , beliau berkhidmat sebagai setiausaha kedua di Kedutaan Filipina di Washington DC. Macapagal juga merupakan wakil Filipina ke Perhimpunan  Agung Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu sebanyak tiga kali . Macapagal dilantik sebagai Presiden Filipina ke -9 pada tahun 1961-1965 selepas berjaya mengalahkan Presiden Carlos P. Garcia . Beliau dipilih dari gabungan Parti Liberal dan Parti Progresif  . Beliau diberi gelaran “ The Incorruptable “ kerana kesungguhannya dalam membasmi amalan rasuah di Filipina . Sepanjang pemerintahannya terdapat pelbagai sumbangan yang dilaksanakan olehnya  untuk membangunkan ekonomi Filipina pada pertengahan abad ke-20
            Antara sumbangan Macapagal dalam pembangunan ekonomi Filipina pada pertengahan abad ke-20 ialah  memperkenalkan Program Reformasi Tanah  melalui Kanun Reformasi Tanah Pertanian 1963 . Tujuannya untuk memerangi kemiskinan di Filipina secara besar-besaran . Justeru itu , Macapagal telah melakukan reformasi dengan  memansuhkan penyewaan tanah apabila beliau menandatangani pemansuhan tersebut pada 8 Ogos 1963 . Matlamatnya ialah untuk menghapuskan amalan perhambaan terhadap penyewa tanah dengan memberikan kebebasan dan keselamatan kepada petani di tanah milik mereka . Walau bagaimanapun program reformasi tanah yang diperkenalkan oleh Macapagal ini menemui kegagalan  kerana menerima tentangan daripada kongres Filipina yang dikuasai oleh  Parti Nasionalis .
            Selain itu , dalam usahanya untuk membangunkan Filipina dalam bidang ekonomi , Macapagal juga telah menghapuskan kawalan pertukaran mata wang dan membenarkan peso Filipina diapungkan di pasaran pertukaran mata wang supaya ia bergerak mengikut pasaran pertukaran wang asing . Selepas bekerja selama 20 jam berturut-turut , Presiden Macapagal berjaya menandatangani  Dekri Bank Negara yang memansuhkan  kawalan pertukaran dan mengembalikan Filipina kepada ekonomi laissez faire pada  21 Januari 1962 .  Melalui dasar kewangan  ini , berjuta-juta peso dapat dipungut setiap tahun oleh Kerajaan Macapgal .
            Sumbangan Macapagal yang seterusnya dalam pembangunan ekonomi Filipina ialah  dengan memberi penekanan kepada sektor  pertanian dan memajukan bidang perindustrian . Contohnya Macapagal  menekankan  tanaman  seperti kelapa kering ,  tebu , abaka  , tembakau dan nanas sebagai hasil eksport Filipina . Macapagal juga bertindak meningkatkan keluaran bahan makanan bagi menampung keperluan penduduk untuk mengelakkan Filipina mengimport makanan daripada luar negara . Hasilnya pengaliran peso keluar negara berjaya dielakkan . Manakala dalam bidang industri  ,  Macapagal  memajukan industri ringan , pembungkusan dan pemasangan  serta  insustri besi dan keluli . Malahan  Kerajaan Macapagal  juga telah mengasingkan industri gula dan kelapa melalui penubuhan  lembaga  Kelapa Filipina . Hal ini disebabkan kedua-dua industri ini  menjadi  penyumbang utama  dalam  hasil eksport Filipina .
            Di samping itu , Presiden Macapagal juga mewujudkan Pentadbiran Pekerjaan Asas ( PPA ) bagi menyelesaikan masalah pengangguran yang juga merupakan salah satu masalah utama semasa pentadbirannya . Kerajaan Macapagal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Filipina bagi membolehkan mereka keluar daripada belenggu kemiskinan . Impaknya Macapagal berjaya menjadikan rakyat Filipina menjadi lebih produktif dalam ekonomi.
            Sumbangan Macapagal yang berikutnya dalam pembangunan ekonomi Filipina pada pertengahan abad ke-20 ialah melalui program yang dipanggil  “ kembali kepada perusahaan bebas dan swasta . Melalui program ini , pembangunan ekonomi Filipina berada di tangan usahawan swasta dengan campur tangan kerajaan yang minimum . Oleh itu , Macapagal telah mewujudkan undang-undang Perdagangan Runcit Kebangsaan . Undang-undang ini berjaya membolehkan ahli perniagaan Filipina memecah monopoli ahli perniagaan asing yang menguasai perdagangan runcit Filipina selama ini .
            Akhirnya , sumbangan Macapagal dalam pembangunan ekonomi Filipina boleh dilihat melalui Progaram Bersepadu Lima Tahun . Tujuannya untuk pemulihan ekonomi , membela rakyat biasa dan mewujudkan asas yang kukuh untuk masa depan . Contohnya salah satu janji kempen utama Macapagal ialah untuk membersihkan rasuah dalam kerajaan . Oleh itu , setiausaha kehakiman iaitu Jose W.Diokno. telah disiasat atas tuduhan mengelakkan cukai , penyeludupan dan tidak mengisytihatrkan duti import dan rasuah oleh pegawai-pegawai awam . Hasil daripada program ini Macapagal berjaya meningkatkan ekonomi Filipina dengan mencatat KDNK 5.15 %  setahun .
            Kesimpulannya Macapagal banyak memberi sumbangan dalam menjayakan pembangunan ekonomi Filipina pada pertengahan abad ke-20 . Namun begitu , beberapa dasar ekonominya gagal dilaksanakan secara optimum kerana mendapat bantahan daripada ahli-ahli kongres yang dikuasai oleh Parti Nasionalis pimpinan Ferdinand Marcos . Walau bagaimanapun Macapagal berjaya membawa keluar Filipina daripada mengalami zaman inflasi apabila KDNK    meningkat  semasa pemerintahannya . Pada tahun 1965 , Macapagal tewas kepada Ferdinand Marcos dalam pertandingan pemilihan semula jawatan Presiden Filipina .


 SUMBER-
SKEMA PEPERIKSAAN  PERCUBAAN  STPM SEJARAH PENGGAL 3 2017 TERENGGANU

No comments:

Post a Comment