Ad

Friday, 10 April 2015

Malaysia tandus pemain bagus

Oleh Aziman Rosdi 
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Tanpa pemain yang bagus, tiada apa yang mampu dilakukan Dollah Salleh,” kata bekas jurulatih kebangsaan Datuk Dr Peter Velappan yang mengakui cabaran sukar dihadapi pengendali Harimau Malaya itu dalam usaha memulihkan kembali kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa.

Ranking terbaru skuad negara di tangga ke-164 dunia seperti dikeluarkan FIFA baru-baru ini disifatkan sukar diterima apatah lagi apabila menyaksikan pasukan kerdil seperti Bhutan berada di kedudukan lebih baik.

“Mungkin ada orang berpendapat ranking FIFA itu tidak penting kerana Malaysia mampu menewaskan pasukan di ranking lebih tinggi. Pasukan yang Malaysia tewaskan di Piala AFF seperti Vietnam, Thailand, Singapura berada di kedudukan lebih baik.

“Tapi, ranking FIFA ini bukan mengambil kira satu, dua perlawanan saja sebaliknya ia akan sentiasa berubah mengikut perlawanan yang dilalui sepanjang tahun. Ia akan menjadi petunjuk sejauh mana prestasi pasukan kita, kalau kita sering kalah itu bermakna pasukan kita tidak meningkat maka kedudukan ranking juga merosot.

“FAM perlu lakukan sesuatu, malulah kalau Bhutan yang mengalahkan India dan Bangladesh sebelum ini boleh memintas pasukan negara,” kata beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu.

Skuad kebangsaan menerima tamparan hebat apabila turun 11 anak tangga selepas berada di ranking 153 dunia pada Mac lalu susulan kekalahan teruk 0-6 kepada Oman dalam aksi persahabatan.

Velappan yang pernah mengendalikan skuad kebangsaan dan remaja pada 1963-1965 berpendapat senario bola sepak negara tidak akan berubah jika FAM berterusan ‘membina rumah bermula dari bumbung’.

“Ini masalahnya jika kita mula bina rumah dengan bumbung. Tanpa asas yang kukuh ia akan runtuh. Kita perlu memperkuatkan program di peringkat akar umbi dengan program berterusan. Kita juga memerlukan pasukan negeri, kelab dan liga yang bagus untuk mendapatkan pemain berkualiti jika tidak sukar untuk Dollah membentuk pasukan.

“Kita boleh lihat tahap bola sepak rantau ini apabila tidak ada wakil Asia Tenggara layak beraksi di Piala Asia 2015. Pembangunan penting, mungkin kita ada buat, tapi tidak cukup,” katanya.

Ditanya mengenai peluang Harimau Malaya untuk melepasi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2018 Jun ini,Velappan berkata, tanpa persiapan yang baik tidak perlulah memasang impian tinggi.

“Mungkin kita tidak mempunyai pasukan hebat, tapi kalau kita merancang persiapan yang baik, peluang tetap ada kerana kita perlu ingat, setiap perlawanan di pusingan kelayakan ibarat final,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:31 AM

SUMBER-HARIAN METRO ONLINE 11.4.2015

No comments:

Post a Comment