WARTAWAN SINAR HARIAN
11 April 2015
Enam tahun derita disimbah asid
Azri bersama Anbananthan menunjukkan wajahnya sebelum disimbah asid
BUTTERWORTH - "Selama enam
tahun hidup saya tidak sempurna, apa yang saya miliki selama ini, pekerjaan,
kehidupan dan keluarga hilang begitu saja," demikian luah mangsa simbahan
asid, Azri Abdullah, 47.
Menurutnya, sebelum ini rupa
parasnya sempurna namun, semuanya berakhir apabila dia disimbah asid oleh
seorang ahli keluarganya sendiri di Jarak Atas sekitar 2009 lalu.
"Disebabkan perbuatan ini,
saya hilang penglihatan kedua-dua belah mata dan kulit habis hancur sehingga
terpaksa digantikan dengan kulit di bahagian paha.
"Selama 11 bulan saya
terpaksa tanggung kesakitan ini seorang diri," katanya kepada Sinar
Harian.
Menceritakan semula kejadian
yang berlaku enam tahun lalu, Azri berkata, hubungannya dengan ahli keluarga
lain baik seperti biasa.
"Namun ketika seorang ahli
keluarga telefon dan meminta saya ambil geran motosikal arwah ayah di kampung,
saya tanpa berfikir panjang terus pulang.
"Ketika sampai di depan
rumah, saya pelik kerana tengok kereta ahli keluarga lain ada di luar rumah,
namun tingkap dan pintu rumah semuanya terkunci rapat," katanya.
Azri berkata, bimbang berlaku
perkara tidak diingini, dia cuba melihat ke dalam melalui lubang di dinding
rumahnya.
"Tapi secara tiba-tiba
ternampak seseorang meluru dan menyimbah cecair ke arah saya melalui lubang
dinding tersebut.
"Ketika itu saya meraung
meminta tolong kerana terlalu sakit. Saya kemudiannya tidak sedarkan diri dan
dihantar ke Hospital Seberang Jaya," katanya.
Bagaimanapun penantiannya
selama enam tahun bakal berakhir apabila
kesnya yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan selanjutnya
kini dibuka semula.
Sementara itu, peguam yang
mewakili Azri, Anbananthan Yathiraju berkata, pihaknya sudah menghantar surat
kepada pejabat Peguam Negara dan pihak polis untuk membuka kembali kes ini.
“Kini, suspek kes ini dituduh
di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 25 Mac lalu.
“Hakim kemudiannya menetapkan
23 April depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes ini,” katanya.
Mana-mana pihak yang sudi
menghulurkan bantuan kepada Azri boleh berbuat demikian dengan menyalurkan
sumbangan di akaun Bank Islam 2057 0224 01436 atau RHB Bank 10702 8006 02905
atau Bank Simpanan Nasional 1410 0410 0014 2972.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE
11.4.2015
No comments:
Post a Comment