Ad

Saturday, 4 April 2015

FELDA gigit jari; Perak, Selangor, JDT makin dekat

SABTU, 4 APRIL 2015 @ 11:59 PM 
KUALA LUMPUR: FELDA United gagal merampas semula kedudukan tangga teratas Liga Super daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mereka tewas 4-1 kepada Perak di Stadium Selayang, malam ini.

Hari turut ceria buat Selangor, Pahang, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu yang masing-masing melakar kemenangan penting untuk mengejar pendahulu liga, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selangor menewaskan Sime Darby 3-2 di Stadium Shah Alam manakala JDT menumpaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di laman sendiri.

Pahang turut garang di Kuantan menewaskan Lions XII 3-2 dengan Terengganu membenam pasukan tetangga, Kelantan 2-1 di Kuala Terengganu.


Di Stadium Perak, biarpun jaringan penyamaan Edward Junior Wilson pada minit ke-48 berjaya memadam gol pendahuluan Perak menerusi Charles Souza Chad seawal minit kelima, Perak garang menambah tiga lagi gol selepas itu.

Chad menambah gol kedua Perak pada minit ke-51 sebelum Namkung Woong meletakkan pelawat selesa mendahului 3-1 menerusi jaringan pada minit ke-82.

Chad melengkapkan hatriknya apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk gol keempat Perak yang kini berjaya melonjak ke tangga kedua liga.

Sementara itu, di Stadium Shah Alam, Selangor berjaya mengekalkan kedudukan di tangga ketiga liga apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan pasukan tercorot, Sime Darby FC 3-2.

Selepas mendahului dua gol menerusi jaringan Andik Vermansah pada minit ke-54 dan Ahmad Hazwan Bakri, minit ke-59, kelekaan Selangor membenarkan Sime Darby merapatkan kedudukan hasil sepakan penalti Nemanja Vidakovic, minit ke-69.

Namun Selangor kembali lega apabila Robert Cornthwaite menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-78 sebelum pelawat sekali lagi membalas menerusi Dilshod Sharofetdinov pada masa kecederaan tetapi sudah terlewat untuk mengelak kekalahan kelima Sime Darby

Di Stadium Darulmakmur, Pahang mengesahkan tiga mata menerusi jaringan Matias Conti pada minit ke-35, R Gopinathan, m-65 dan Azidan Sarudin, m-76 manakala gol pelawat menerusi Muhamad Faris Ramli, m-14 dan Khairul Nizam Zainal, m-90.

Sementara itu di Larkin, JDT bangkit menewaskan ATM menerusi Amri Yahyah, m-36 dan

Safiq Rahim (m-57) selepas pelawat mendahului minit ke-22 menerusi Jerry Palacois (m-22).

Dua gol daripada Ismail Faruqi pada minit ke-50 dan Muhamad Shahrin Sapien (m-78) mengesahkan kemenangan Terengganu ke atas Kelantan.

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE SABTU, 4 APRIL 2015 @ 11:59 PM

No comments:

Post a Comment