Ad

Monday 13 April 2015

Gary Robbat tak hadir latihan skuad Sukan SEA

ISNIN, 13 APRIL 2015 @ 9:42 PM 
Oleh Wan Fakhrul Bakar wanfakhrul@bh.com.my 
KELANA JAYA: Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Gary Steven Robbat tidak hadir melaporkan diri ke kem latihan pusat skuad B-23 negara untuk persediaan ke Sukan SEA 2015, semalam kerana kecederaan belakang. Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee berkata, Gary mengalami kecederaan lama itu selepas masuk sebagai pemain gantian selama 33 minit ketika JDT seri 0-0 dengan Lions XII pada aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu lalu yang juga aksi sulungnya selepas bebas daripada penggantungan tiga bulan.

 "Saya menerima laporan daripada doktor pakar di Johor Bahru menyatakan Gary mengalami kecederaan agak serius di bahagian belakang. Jika dia hadir ke sini pun, perjalanan akan memudaratkan lagi kecederaannya itu. "Jadi saya sudah pun menghubungi jurulatih JDT, Bojan Hodak dan bersetuju untuk membenarkan Gary menjalani proses pemulihan bersama kelabnya. Lagi pun kem latihan kali ini hanya empat hari," kata Kim Swee ketika ditemui pada hari kedua sesi latihan di Wisma FAM, malam ini. Hanya 26 daripada 30 pemain yang disenaraikan dalam pendaftaran awal Sukan SEA 2015 hadir pada latihan fasa ketiga ini dan selain Gary, turut tidak hadir ialah dua lagi pemain JDT, Amer Saidin dan Fandi Othman serta pemain Pahang, Nor Azam Abdul Azih yang terbabit dengan aksi Piala AFC. 

Dalam pada itu, Kim Swee membayangkan untuk hanya memanggil seramai 25 pemain untuk fasa terakhir latihan pusat bermula 3 Mei ini dengan tiga aksi persahabatan diatur sebelum saingan sebenar di Singapura bermula 29 Mei untuk Kumpulan B dan 1 Jun untuk Kumpulan A. "Hanya 25 pemain akan dipanggil. Jika panggil semua 30 pemain, terlampau ramai untuk mengadakan sesi latihan. Siapa yang akan terpilih nanti terpulang kepada situasi semasa pemain dan masalah kecederaan. "Undian Sukan SEA akan diadakan, Rabu ini dan selepas itu baru saya boleh memutuskan untuk bertemu pasukan yang tidak sama kumpulan dengan kita untuk aksi persahabatan, Mei nanti," jelas Kim Swee yang hanya akan menamakan senarai 20 pemain terakhir beberapa hari sebelum ke Singapura.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/47446

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE 13.4.2015

No comments:

Post a Comment