Ad

Friday 3 April 2015

Gary teruja

Oleh Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain tengah Gary Steven Robbat tidak sabar menyertai Johor Darul Ta’zim (Johor DT) selepas dibenarkan berlatih dan beraksi semula apabila bebas daripada hukuman penggantungan tiga bulan semalam.

Hukuman penggantungan pemain kebangsaan berusia 22 tahun itu sepatutnya berakhir 16 April ini, namun selepas mendapat pertimbangan Jawatankuasa Rayuan Bolasepak Malaysia (FAM) mereka bersetuju memendekkan tempoh itu serta mengurangkan denda RM50,000 kepada RM20,000 atas kesalahan menandatangani kontrak bersama dua pasukan iaitu Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) pada November tahun lalu.

Atas kesalahan itu, Gary, bekas pemain Harimau Muda A tidak dibenarkan berlatih dengan mana-mana pasukan serta kontrak ditandatangani bersama Johor DT pada 21 November 2014 tidak sah.

Gary yang baru pulang menjalani latihan bersama kelab Bundesliga Borussia Dortmund 20 Mac lalu selepas hampir dua bulan di sana menerusi program diatur Johor DT gembira dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan itu dan secara terbuka menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Selatan.

“Saya gembira dengan keputusan itu dan kini boleh kembali berlatih bersama Johor DT. Memang benar saya mahu menandatangani kontrak dengan Johor DT tapi setakat ini masih belum ada perbincangan lagi.

“Saya memilih Johor DT demi masa depan saya. Mereka juga banyak membantu saya sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Selain itu, PBNJ yang dikenakan hukuman denda RM100,000 boleh menarik nafas lega kerana Jawatankuasa Rayuan mengurangkan denda kepada RM50,000.

Yang pasti keputusan meringankan hukuman Gary bakal membantunya dalam proses mencari rentak selepas tiga bulan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif kerana dia juga antara tonggak perancangan jurulatih skuad bawah 23 tahun negara Datuk Ong Kim Swee ke Sukan SEA Singapura Jun depan.

Bagi pemain kelahiran Kulim Kedah itu, dia bersedia membuka lembaran baru dalam kariernya dan membantu Johor DT merangkul gelaran musim ini.

“Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan memenangi piala musim ini,” katanya yang mewakili Harimau Malaya ketika muncul naib juara Piala AFF 2014.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM Datuk Seri Afandi Hamzah mengesahkan Gary boleh beraksi dengan mana-mana pasukan jika ada pasukan mendaftarkannya dalam tempoh pendaftaran kedua pemain yang dibuka hingga 28 April ini.

“Jawatankuasa Rayuan sudah membuat keputusan, tiada masalah untuk Gary bermain dengan mana-mana pasukan bagi saingan liga tahun ini dengan syarat perlu didaftarkan semula dalam tempoh pendaftaran kedua pemain tempatan dan import,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 9:38 AM
DISYORKAN

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/41126#sthash.2bmQNmCG.dpuf

No comments:

Post a Comment