1.Bincangkan struktur masyarakat Arab Jahiliah sebelum kedatangan
Islam.[20m]
Jahiliah berasal daripada perkataan jahala yang
bermaksud bodoh. Ungkapan perkataan ini dikaitkan dengan
masyarakat yang muncul di Semenanjung Tanah Arab yang mempunyai
akidah yang sesat serta akhlak yang amat buruk. Keadaan ini
berlangsung kira-kira 30 tahun, iaitu selepas runtuhnya Empangan Ma'arib
hingga kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610. Sejarawan Islam
mencatatkan terdapat empat ciri umum masyarakat pada tempoh
masa tersebut, iaitu masyarakat yang tidak mempunyai nabi dan rasul
serta kitab suci sebagai panduan, berakhlak buruk,
tidak berperadaban (bertamadun), dan majoriti
masyarakatnya buta huruf.
Masyarakat Arab pada zaman
tersebut terbahagi kepada dua kelompok utama, iaitu masyarakat Arab
Badwi dan Arab Hadhari. Masyarakat Arab Badwi tinggal di kawasan
pedalaman berhampiran dengan sumber air di oasis atau wadi. Mereka
mengamalkan kehidupan bercorak nomad iaitu berpindah-randah dari
satu tempat ke tempat yang lain. Aktiviti masyarakat Arab Badwi ini
lebih tertumpu kepada penternakan dan pertanian di kawasan yang
terdapat sumber bekalan air. Hal ini kerap menjadi rebutan
sesama mereka hingga mencetuskan ketegangan.
Namun berbeza dengan
masyarakat Arab Hadhari yang tinggal kekal di bandar-bandar besar
seperti Makkah, Yathrib, dan Yaman. Kegiatan harian masyarakat Arab
bandar dikaitkan dengan aktiviti perdagangan sama ada
secara kecil-kecilan atau merentasi sempadan geografi.
Contohnya, kabilah Quraisy menjalankan aktiviti perdagangan
ke Syam pada musim panas manakala pada musim dingin,
aktiviti tersebut beralih keYaman.
Kedua-dua masyarakat ini
mengamalkan kehidupan bercorak kabilah. Anggota dalam
sesebuah kabilah mempunyai pertalian darah antara satu sama lain.
Seandainya ada individu yang berhasrat menganggotai kabilah lain,
ia perlu bersumpah di hadapan patung berhala.
Setiap kabilah akan diketuai oleh pemimpin bergelar
syeikh yang mempunyai kuasa mutlak.Walaupun dinasihati oleh Majlis
Kabilah, kuasa tetap di tangan syeikh. Ahli-ahli kabilah wajib
mencurahkan kesetiaan sepenuhnya kepada kabilah
masing-masing.
Setiap kabilah akan memegang suatu
fahaman yang dinamakan 'asabiyyah bagi menjamin
kekuatan dan keutuhan kabilah tersebut serta
kesetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh anggota dalam
sesuatu kabilah. Fahaman 'asabiyyah berperanan menghidupkan
aktiviti sosioekonomi dan politik sesebuah kabilah. Fahaman inilah
juga yang sering mencetuskan keadaan huru-hara; tanpa mengira
benar atau salah setiap individu dalam sesuatu perkara,
kabilah akan mempertahankannya.
Keadaan bertambah buruk
apabila peperangan yang dilancarkan semata-mata mahu menunjukkan
kemegahan dan kekuatan kabilah serta menjadikan tawanan-tawanan
perang sebagai hamba.
Dalam masyarakat jahiliah, wujud juga
jurang sosial yang luas antara golongan bangsawan dengan golongan
bawahan khasnya hamba. Susun lapis atau organisasi
sosial yang wujud begitu tegar.
Bagi kaum wanita, mereka langsung
tidak mendapat tempat sama ada dalam keluarga apatahlagi
dalam kabilah. Kelahiran bayi-bayi perempuan dianggap
menjatuhkan maruah keluarga. Oleh sebab itu, timbul amalan
membunuh bayi-bayi perempuan. Pendek kata, kaum wanita pada zaman
tersebut hanya dianggap sebagai objek untuk memuaskan hawa nafsu.
Berhubung dengan nilai mulia dan hina,
ukurannya dinilai berdasarkan kekayaan, kemahiran dan ilmu yang
dimiliki serta keturunan yang diwarisi. Individu yang kaya
seperti pedagang, ahli sihir, dan pahlawan akan disanjung dan
dipandang mulia, sedangkan mereka yang miskin dan hamba dipandang
hina oleh masyarakat.
Kesimpulannya, struktur
masyarakatArab sebelum Islam jelas mencerminkan masyarakat yang
ketinggalan atau mundur, berpecah belah dan mengamalkan
diskriminasi. Namun senario tersebut mula berubah apabila
Nabi Muhammad SAW membawa nur yakni agama Islam yang mengubah
peradaban masyarakat Arab menjadi lebih mementingkan keadilan, persaudaraan dan
persamaan, sekali gus merealisasikan konsep ummah.
No comments:
Post a Comment