Oleh Nurul Huda Kosnon
nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: "Dia
penyelamat saya dan suami. Syukur dia datang tepat pada waktunya kalau tak ada
dia, tak tahu macam mana keadaan kami ketika itu," kata Erny Mozaliza
Goldah, 33 yang terharu dengan sikap prihatin seorang peronda di Lebuhraya KL-Kuala
Selangor Expressway BerhadBerhad (LATAR) yang membantu dia dan suaminya ketika
tayar motosikal mereka bocor terlanggar paku, Sabtu lalu.
Katanya, ketika kejadian pada 6
petang itu dia dan suami, Azman Arshad,36, dalam perjalanan dari Kuala Selangor
untuk pulang ke rumah mereka di Cheras.
"Ketika melalui lebuhraya
itu, tiba-tiba motosikal kami terlanggar paku menyebabkan tayar bocor. Syukur,
suami dapat kawal keadaan dan terus berhenti di bahu kiri jalan.
"Kami terus menghubungi
talian hotline Lebuhraya LATAR untuk mendapatkan bantuan dan ketika itu juga
hujan lebat . Tidak lama kemudian peronda Lebuhraya LATAR dikenali sebagai
Harun yang berusia lingkungan 40-an tiba pada 6.30 petang untuk memberikan
bantuan.
"Dia menawarkan kami
berteduh di dalam kenderaan pacuan empat roda miliknya selain cuba memasukkan
motosikal berkuasa tinggi itu ke dalam kenderaan berkenaan tetapi gagal
disebabkan masalah teknikal," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di
sini, semalam.
Erny berkata, peronda berkenaan
memaklumkan kepada saya dan suami mengenai masalah yang dihadapi dan dia
kemudiannya cuba mencari alternatif lain termasuk meminta bantuan lori peronda
lain yang lebih sesuai untuk mengangkut motosikal berkenaan.
"Ketika sedang menanti
lori itu sampai dalam tempoh satu jam, dia ada memberitahu kami mengenai
keadaan di Lebuhraya ini yang kerap menjadi sasaran penjenayah terutama apabila
mengetahui ada kenderaan pengguna LATAR rosak dan sebagainya.
"Nasib kami baik apabila
ada peronda lebuhraya yang rela hati dan ikhlas mahu membantu dan menemankan
kami sehingga semuanya selesai berikutan cuaca ketika itu juga tidak berapa
baik," katanya.
Katanya, dia melihat peronda
berkenaan sangat bertanggungjawab selain bersyukur tiada sebarang kejadian
tidak diingini berlaku berdasarkan apa yang dimaklumkan En. Harun yang sangat
berpengalaman sebagai peronda di kawasan terbabit.
"Dia (Harun) juga ada
berkongsi beberapa insiden curi dan samun termasuk pasangan suami isteri yang
kehilangan barang berharga akibat perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir
individu pada minggu lalu di sekitar kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R),
LATAR.
"Saya sangat berterima
kasih kepada Harun atas bantuan yang diberikan kerana tanpa dia mungkin saya
dan suami juga akan menerima nasib yang sama. Susah nak jumpa orang yang baik
hati dan bertanggungjawab seperti dia," katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Selasa, 7 April 2015 @ 4:16 PM
Gambar yang sempat dirakan
Erny. FOTO ihsan Erny
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/42180#sthash.SBz6srWj.dpuf
No comments:
Post a Comment