Ad

Tuesday 14 April 2015

‘Kami lebih hebat

AFP
Manchester: Pengurus Manchester United Louis van Gaal tampil mendakwa pasukannya yang terbaik di bandar Manchester selepas mereka menewaskan musuh setempat, Manchester City 4-2, kelmarin.

City menang empat pertemuan antara kedua-dua pasukan sebelum ini, mengalahkan United 4-1 dan 3-0 musim lalu sebelum muncul juara tetapi catatan berkenaan lebur di Old Trafford.

Kemenangan itu membolehkan United mengatasi City dengan kelebihan empat mata di tangga ketiga Liga Perdana sekali gus membolehkan Van Gaal mendabik dada dan mendakwa anak buahnya sudah merampas takhta selaku pasukan terhebat Manchester.

“Kini kami empat mata di depan, itu adalah fakta,” katanya ketika ditanya adakah United pasukan paling berkuasa di bandar itu.

“Anda bermain untuk peminat dan pada awal musim, mungkin ada yang malu mendakwa diri mereka peminat United kerana kami menamatkan 11 perlawanan dengan hanya mengumpul 13 mata. Bagaimanapun, peminat setia kami tetap menyokong.

“Sekarang mereka boleh merayakan kejayaan di bandar dengan berkata: ‘Tahun ini kami pasukan lebih baik berbanding City kerana jumlah jaringan pada kedua-dua pertemuan menentang City musim ini menceritakan segala-galanya.”

Musim lalu, City menang 3-0 di Old Trafford dan memulakan aksi dengan baik apabila David Silva membuat hantaran yang membolehkan Sergio Aguero menjaringkan gol pendahuluan pada minit kelapan.

Tetapi, United bangkit menerusi jaringan Ashley Young, Marouane Fellaini, Juan Mata serta Chris Smalling sebelum Aguero menghasilkan gol kedua peribadi yang juga jaringan ke-100 bersama City.

Young dan Fellaini yang lebih menyinar berbanding ketika dibimbing David Moyes, menjadi antara nadi kebangkitan United musim ini sekali gus membuatkan Van Gaal pantas menghambur pujian.

Selain meledak jaringan, Young turut menjana gerakan yang membolehkan Fellaini serta Smalling menghasilkan gol dan Van Gaal menganggap persembahan anak buahnya itu hebat.

“Dia pemain terbaik kami dan saya gembira dengan sumbangannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:26 AM
 
SMALLING (kiri) jaring gol keempat United.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/43612#sthash.n0zBRh3u.dpuf

No comments:

Post a Comment